Saham SP Setia disemak turun kepada ‘pegang’, untung Q3 dijangka lebih lemah - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham SP Setia disemak turun kepada ‘pegang’, untung Q3 dijangka lebih lemah - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Unjuran prestasi bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) SP Setia Berhad dikekalkan buat masa ini, namun firma penyelidikan percaya kumpulan bakal mencatatkan keuntungan bersih lebih lemah. 

 

Kata penganalisis di AmInvestment Bank, Lee Ching Poh, keuntungan bersih bagi tempoh tersebut yang bakal diumumkan sekitar bulan hadapan mungkin menyaksikan kemerosotan 25% dari segi perbandingan suku tahunan. 

 

Dalam masa sama, penarafan ke atas saham SP Setia juga disemak turun kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dengan nilai wajaran pada kadar RM1.26 sesaham. 

 

“...Ini susulan peningkatan harga saham selama tiga bulan sebanyak 13% telah mengehadkan potensi kenaikan pada masa hadapan. 

 

“Nilai wajaran kami berdasarkan pengurangan 40% kepada Penilaian Aset Bersih yang Dinilai Semula (RNAV) serta penarafan neutral tiga bintang bagi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG),” jelas Ching Poh dalam satu nota penyelidikan.

 

Unjuran prestasi yang lebih lemah pada 3QFY21 itu berdasarkan jualan hartanah kumpulan yang menurun pada tempoh Julai hingga September selain perkembangan pembilan yang lebih perlahan ekoran aktiviti pembinaan terhad. 

 

Ching Poh tidak menolak kemungkinan momentum jualan tempatan bagi tempoh berkenaan berjalan perlahan susulan sekatan pergerakan. 

 

Bagi projek antarabangsa yang menyumbang 24% kepada jumlah jualan kumpulan bagi tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21) berkemungkinan menyaksikan penyumbang utama, Daintree Residence in Singapore mencatatkan jualan lebih rendah kerana baki unit yang ada berkurangan.

 

“Walaupun bermula lemah pada 2H21, kami percaya jualan itu akan melonjak semula pada 4Q21 didorong oleh sentimen pembeli lebih baik serta sekatan pergerakan yang dilonggarkan ekoran kadar vaksinasi meningkat.

 

“Kami juga menyukai inisiatif pemasaran digital kumpulan untuk mendapatkan jualan baharu,” tambah Ching Poh. - DagangNews.com