Saham Sedania di Bursa Malaysia diklasifikasikan semula di bawah sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Sedania di Bursa Malaysia diklasifikasikan semula di bawah sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Julai - Saham Sedania Innovator Berhad (Sedania) di Bursa Malaysia telah diklasifikasikan semula di bawah sektor 'Produk dan Perkhidmatan Pengguna' dan subsektor 'Perkhidmatan Pengguna' berkuat kuasa 9 pagi, 9 Julai 2024.

 

Menurut Sedania, pengelasan semula ini merupakan perkembangan penting bagi Kumpulan yang mencerminkan peralihan strategik Kumpulan ke arah industri barangan pengguna cepat laris (FMCG) dengan tumpuan dipertingkatkan terhadap produk dan perkhidmatan yang berorientasikan pengguna. 

 

"Ini adalah berikutan kelulusan yang diberi oleh Bursa Malaysia untuk permohonan pengelasan semula Sedania melalui surat rasmi Bursa Malaysia bertarikh 31 Mei 2024. Nombor saham dan singkatan saham syarikat, Sedania (0178), kekal dan tidak berubah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sebelum ini, Sedania disenaraikan di bawah sektor 'Telekomunikasi dan Media; dan subsektor 'Peralatan Telekomunikasi' sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada tahun 2015.

 

Kata Sedania, peralihan sektor ini diperteguh oleh pemerolehan sebanyak 51% kepentingan dalam Tanamera Group Sdn. Bhd. (Kumpulan Tanamera) dan Offspring Inc. Sdn. Bhd. yang masing-masing memiliki jenama Tanamera dan Offspring. 

 

Ujar Kumpulan itu, jenama Tanamera terkenal dengan produk kesihatan dan penjagaan diri halal semula jadi manakala jenama Offspring mengkhususkan dalam produk penjagaan bayi organik.

 

tana

 

"Pemerolehan Kumpulan Tanamera termasuk Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd yang memiliki jenama penjagaan diri dan pasca-bersalin premium halal  serta FA Herbs Sdn. Bhd., pengilang OEM bersijil GMP yang terkenal dengan pengilangan halal yang sahih di bawah jenama Tanamera. 

 

"Offspring pula jenama bayi organik dari Australia, menawarkan produk penjagaan bayi premium yang mesra alam, selamat untuk bayi, bebas kekejaman dan diperbuat daripada bahan yang diperoleh secara mampan," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sedania peroleh 51% kepentingan dalam Tanamera bernilai RM8.18 juta

 

Sedania berkata, pemerolehan ini, bersama dengan pengenalan JomHibah oleh Sedania As Salam Capital dan perkhidmatan inovatif lain, adalah mustahak kepada strategi Kumpulan dalam memperluaskan kehadiran pasaran dan menyediakan penyelesaian mampan selaras dengan keperluan pengguna. 

 

"Matlamat kami adalah untuk menjadi jenama isi rumah yang dipercayai yang sinonim dengan kelestarian, kualiti dan nilai untuk wang," ujarnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, Kumpulan amat berbangga dengan pengelasan semula ini yang mencerminkan peralihan strategik kami ke arah perniagaan berfokus pengguna. 

 

"Langkah ini mengukuhkan komitmen kami untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang inovatif dan mampan yang memenuhi keperluan komuniti kami yang semakin prihatin terhadap alam sekitar dan social," katanya.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor menambah, menjadi misi Sedania sejak penubuhannya untuk 'meningkatkan kehidupan secara lestari' yang telah mendorong kepelbagaian ke dalam sektor berorientasikian pengguna, melangkaui model perniagaan teknologi asal.

 

"Kami teruja dengan masa depan Sedania berikutan usaha kami dalam memperluaskan jangkauan pasaran produk disamping memperkenalkan produk baru dan menarik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.- DagangNews.com