Rumpai laut, halia bakal cipta sumber pertumbuhan baharu bagi pembangunan lestari Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rumpai laut, halia bakal cipta sumber pertumbuhan baharu bagi pembangunan lestari Sabah

Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) Kurup ketika pelancaran produk baja rumpai laut, AlgaGrow, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu bersempena Hari Koperasi Negara 2023, baru-baru ini. Turut kelihatan Pengarah Rhodomaxx, Chung Ngin Zhun (kiri) dan Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yakin Sabah bakal menerima banyak manfaat ekonomi yang menyeluruh daripada penggunaan bioteknologi, khususnya dalam aktiviti berasaskan rumpai laut dan pengeluaran halia. 

 

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penggunaan bioteknologi semakin meningkat di kalangan pemain industri tempatan di Sabah. 

 

Beliau berkata, syarikat berasaskan bio Malaysia yang inovatif seperti Rhodomaxx dan Tamara memainkan peranan penting dalam memartabatkan petani Sabah melalui pemodenan kaedah pertanian, membangunkan peluang ekonomi untuk menjana kekayaan, serta menyelesaikan isu global melalui penyelesaian mampan tempatan. 

 

Katanya, melalui fasilitasi dan sokongan yang diberikan oleh Bioeconomy Corporation, Rhodomaxx dan Tamara telah memaksimumkan sumber semula jadi yang banyak ini dan memanfaatkannya untuk memacu inovasi dan pertumbuhan yang mampan. 

 

"Rhodomaxx melabur RM1.5 juta dalam penyelidikan dan pembangunan produk, termasuk untuk derivatif berasaskan rumpai laut seperti bioplastik dan bahan tambahan makanan, dengan rancangan untuk meningkatkannya kepada RM12 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

"Sementara itu, kerjasama antara Tamara dan KOPUJAYA di ladang perintis di Tuaran akan melibatkan sekurang-kurangnya 40 petani dari industri halia yang dijangka akan menghasilkan sekurang-kurangnya 150 tan metrik halia dari Sabah," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, beliau melancarkan majlis pertukaran produk berasaskan bio dan memorandum persefahaman (MoU) anjuran Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, sempena Hari Koperasi Negara 2023.

 

 

bio

 

 

Semasa majlis itu, Rhodomaxx Sdn Bhd, sebuah syarikat berasaskan bio di Sabah melancarkan 'AlgaGrow', iaitu produk baja berasaskan bio yang diperoleh secara mampan daripada rumpai laut Sabah. 

 

Sementara itu, majlis pertukaran MoU yang diadakan antara syarikat Bio-based Accelerator (BBA) Tamara Nanoetech (M) Sdn Bhd (Tamara) dan Koperasi Pembangunan Usaha Jaya Semporna Bhd (KOPUJAYA) menandakan kerjasama mereka bagi penubuhan ladang perintis untuk penanaman halia di Tuaran yang menggunakan input nutrien khusus halia dengan teknik pertanian moden.

 

 

bio

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, inisiatif berasaskan bio yang dijalankan Rhodomaxx, Tamara dan KOPUJAYA berteraskan amalan mampan yang akan menambah nilai yang tinggi kepada pembangunan pertanian dan ekonomi Sabah. 

 

Hasil daripada inisiatif ini katanya, Sabah akan mendapat manfaat daripada input pertanian yang mampan, mengurangkan pergantungan kepada input baja yang diimport, mewujudkan peluang penyerap karbon yang berpotensi dan penghasilan bahan input bukan kimia yang lebih selamat.

 

"Selain itu, ia termasuk saluran pasaran yang luas untuk penternak rumpai laut, pemindahan teknologi untuk penanaman halia berasaskan bio, pemodenan petani halia, dan pembangunan produk rumpai laut dan halia yang inovatif. 

 

"Inisiatif ini dijangka akan menjana hasil yang besar daripada rumpai laut sebagai komoditi yang sangat bernilai, dengan hasil tahunan rumpai laut mentah di Malaysia antara RM50 juta hingga RM60 juta dalam tempoh tiga tahun sebelumnya, di samping permintaan pasaran global yang kukuh untuk halia, yang diunjurkan mencecah AS$10.3 bilion menjelang 2030 dan berkembang pada kadar CAGR 4.7% dalam tempoh ramalan 2022-2030.

 

"Manakala kadar sara diri (SSR) semasa Malaysia untuk halia berada pada 18.9%, iaitu volum import melebihi 50,000 MT," katanya. - DagangNews.com