Rugi bersih Lotte Chemical Titan susut kepada RM56.16 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Lotte Chemical Titan susut kepada RM56.16 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Berhad menyusut kepada RM56.16 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM356.1 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, penyusutan itu didorong pembalikan penurunan nilai inventori pada suku berkenaan selain peningkatan margin keuntungan hasil daripada kos bahan suapan yang lebih rendah.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun menyusut kepada RM1.96 bilion berbanding RM2.37 bilion pada 3QFY22.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, hasil dan kerugian bersih kumpulan berkurangan kepada RM5.79 bilion dan RM615.43 juta terutamanya disebabkan oleh margin keuntungan yang lemah, kos operasi yang lebih tinggi dan bahagian kerugian daripada syarikat bersekutu, Lotte Chemical USA Corporation, sebahagiannya diimbangi oleh pembalikan penurunan nilai inventori.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Park Hyun Chul berkata, walaupun terdapat peningkatan dalam prestasi kewangan 3QFY23 kumpulan, persekitaran perniagaan kekal mencabar, dibebani oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dalam ekonomi utama dan ketegangan baharu di Asia Barat.

 

Beliau berkata, pihak pengurusan memantau situasi geopolitik dan agregat bekalan dan dinamik penggunaan untuk mengemudi kumpulan melalui persekitaran yang tidak menentu ini.

 

"Kami akan terus melaksanakan pelan bagi memoptimumkan operasi kami dengan mengimbangi output pengeluaran dengan kecekapan ekonomi, meningkatkan kualiti produk kami sambil mengekalkan pendekatan berdisiplin bagi mengurus kos serta kecairan kewangan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Beliau berkata, sebagai sebahagian strategi kumpulan menyampaikan pertumbuhan yang mampan kepada pemegang kepentingannya, Projek Etilena Baharu (LINE) Lotte Chemical Indonesia dijangka siap menjelang 2025.

 

Katanya, kemudahan pembuatan baharu kami di Indonesia akan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak 65% apabila siap. - DagangNews.com