Rugi bersih Econpile melebar kepada RM2.76 juta bagi 3QFY24 kesan kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Econpile melebar kepada RM2.76 juta bagi 3QFY24 kesan kos operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Rugi bersih Econpile Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM2.76 juta berbanding RM217,000 yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu disebabkan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM99 juta berbanding RM96.7 juta pada 3QFY23

 

Katanya, rugi bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24) melebar kepada RM16.1 juta berbanding RM6.7 juta tetapi hasil bagi tempoh itu meningkat kepada RM329.9 juta berbanding RM273.9 juta pada 9MFY23.

 

"Kerugian bersih itu disebabkan oleh margin kasar yang lebih rendah dipengaruhi oleh tekanan margin industri dan lebih banyak aktiviti pembinaan berasaskan kepada tenaga pekerja manual mengakibatkan perbelanjaan operasi kumpulan menjadi lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, hasil yang lebih tinggi itu disumbangkan daripada kerja-kerja cerucuk dan perkhidmatan asas untuk projek pembangunan hartanah," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, sehingga 31 Mac 2024, terdapat terdapat 19 projek sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat dengan buku pesanan kumpulan itu bernilai sekitar RM400 juta.

 

"Industri pembinaan Malaysia dijangka kekal lemah untuk baki 2024 berikutan pemberian projek infrastruktur awam besar seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan (LRT)di Johor masih belum diketahui.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu akan terus meneroka peluang untuk meriah projek baharu bagi meningkatkan buku pesanan mereka bagi meningkatkan kadar keterlihatan pendapatan pada masa hadapan," katanya.- DagangNews.com