Rugi bersih 1QFY24 Icon Offshore melebar kepada RM23.6 juta disebabkan hasil lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih 1QFY24 Icon Offshore melebar kepada RM23.6 juta disebabkan hasil lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerugian bersih Icon Offshore Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) terus melebar kepada RM23.6 juta berbanding RM4.25 juta disebabkan hasil yang lebih rendah serta peruntukan tambahan berkaitan sewa kapal gantian.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tersebut susut sebanyak RM12.8 juta atau 30%, daripada RM43.3 juta pada suku tahun sebelumnya kepada RM30.5 juta disebabkan oleh penggunaan kapal yang rendah (lewat permulaan penyewaan disebabkan musim tengkujuh dan penyelenggaraan terancang).

 

Katanya, penggunaan keseluruhan untuk suku semasa adalah pada 50% berbanding 71% pada suku tahun sebelumnya.

 

"Peningkatan ketara kerugian selepas cukai kumpulan itu adalah disebabkan oleh peruntukan tambahan berjumlah RM13.1 juta berkaitan penyewaan kapal gantian dan kemerosotan nilai belum terima," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu meramalkan prestasi yang lebih kukuh untuk baki suku tahun kewangan disokong oleh harga minyak mentah yang mampan serta aktiviti minyak dan gas yang kukuh. 

 

Kumpulan kekal komited kepada strategi perniagaan terasnya dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan operasi, pengoptimuman kos dan penjimatan tunai untuk mendaftar perniagaan dan prestasi kewangan yang stabil.

 

"Sehingga 31 Mac 2024, buku pesanan kumpulan kekal sihat pada paras RM322 juta untuk segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV) dengan kontrak jangka Panjang mewakili 87% daripada tempahan.

 

"Lembaga pengarah kekal fokus kepada inisiatif menambah baik perniagaan OSV serta peluang perniagaan sinergi di sebalik prospek yang menggalakkan dalam sektor minyak dan gas," katanya.- DagangNews.com