KUALA LUMPUR 9 Nov - Roche (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Premier Integrated Labs (PILs) dalam usahanya untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang 'Pemprofilan Genom Komprehensif (CGP)' dan meningkatkan akses pesakit kepada CGP di Malaysia.
CGP menyesuaikan rawatan kanser yang diperibadikan untuk pesakit. Dengan satu ujian, CGP boleh menganalisis panel gen yang luas yang diketahui memacu pertumbuhan kanser.
Ujian jenis itu menghasilkan laporan pesakit yang komprehensif dengan penilaian yang luas dan mendalam tentang kemungkinan penyebab kanser.
Pengurus Besar Roche Diagnostics, Heng Chai Yin berkata, pihaknya mempunyai semangat untuk inovasi dan berusaha untuk meningkatkan akses pesakit di Malaysia kerana penjagaan kesihatan yang dibina berdasarkan keperluan orang ramai, data kukuh dan pandangan klinikal adalah penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa.
"Roche memahami kepentingan peranan genom barah dan sedang giat berusaha ke arah meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang CGP, kekal berpegang pada visi Roche untuk terus berinovasi diagnostik, membentuk penjagaan kesihatan dan mengubah kehidupan.
"Kerjasama dengan Premier Integrated Labs adalah bukti nilai bersama, aspirasi, dan kepercayaan bahawa kami boleh membentuk masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Premier Integrated Labs, Hareeff Muhammed pula berkata, kerjasama dengan Roche menandakan detik penting yang berpotensi untuk membentuk semula penjagaan kesihatan di Malaysia.

"Komitmen kami untuk meningkatkan kesedaran tentang CGP dan memastikan akses yang lebih luas kepada kemajuan perubatan yang inovatif ini mengukuhkan dedikasi kami kepada perubatan yang diperibadikan, membuka kunci kuasa genetik untuk rawatan lebih tepat dan disesuaikan.
"Bersama-sama dengan Roche, kami berhasrat untuk menjadikan CGP boleh diakses semua pesakit, melangkaui sempadan sosio-ekonomi dan kekangan geografi. Kerjasama ini menandakan visi bersama kami untuk masa depan lebih sihat dan cerah dalam penjagaan kesihatan Malaysia," katanya. - DagangNews.com








