RM2.6 juta lonjakan hasil jualan usahawan bimbingan INSKEN | DagangNews Skip to main content

RM2.6 juta lonjakan hasil jualan usahawan bimbingan INSKEN

Seramai 135 usahawan diraikan pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN di Bangi pada 22 Ogos 2023. - Gambar INSKEN

BANGI 22 Ogos – Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) mempamerkan hasil positif melalui lonjakan hasil jualan sebanyak RM2.6 Juta dan 192 pekerjaan baharu berjaya dicipta dalam jangka masa 4 bulan pelaksanaannya melalui 4 industri.

 

Industri tersebut adalah 2 kohort Kafe & Restoran, Bakeri, serta Pencetakan dan Servis Berkaitan. Manakala Program INSKEN Start-Up Coaching mencatat 164% peningkatan skor diagnostik dalam masa 6 bulan program ini dijalankan.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, hasil pencapaian keseluruhan Program IBBC ini mencatatkan 3.8 kali nilai gandaan daripada peruntukan dana yang telah diberikan oleh kerajaan.

 

"Program IBBC juga berjaya memajukan 12 perniagaan melalui penukaran status perniagaan daripada mikro kepada kecil,'' kata beliau pada majlis meraikan 135 usahawan di Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN di sini hari ini.


 

insken
Datuk Ewon Benedick (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023 di Bangi  pada 22 Ogos 2023. Turut hadir CEO INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin (kanan).


 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, INSKEN menjalankan program mengikut keperluan usahawan dan memastikan keberhasilan sesebuah kursus adalah menjadi keutamaan.

 

Melalui program bimbingan seumpama ini, INSKEN dapat mengukur pencapaian usahawan dan bukan sekadar menjalankan program seperti melepaskan batuk di tangga.

 

Kejayaan usahawan juga telah memberi suntikan semangat kepada kami untuk kekal agresif dalam melaksanakan program latihan dan bimbingan agar lebih ramai usahawan dapat memajukan perniagaan mereka.

 

Pencapaian program INSKEN Start-Up Coaching diukur melalui peningkatan skor diagnostik dan daripada 24 peserta yang bergraduasi hari ini, Ariati Basir diumumkan sebagai peserta terbaik.

 

Beliau yang menjalankan perniagaan Roti Loaf berjaya mencatat 243% peningkatan skor diagnostik selepas 6 bulan mengikuti program ini.

 

Penambahbaikan perniagaan yang dibuat adalah seperti penetapan harga produk yang bersesuaian, melaksanakan sistem simpan dan rekod setiap perbelanjaan, mengira untung rugi kos produk bagi setiap bulan dan banyak lagi.

 

Beberapa peserta dari program IBBC telah diumumkan sebagai peserta terbaik dan antaranya adalah Saharuddin Sabtu dari industri bakeri.

 

Ketika mengikuti program bimbingan ini, beliau telah membuat perancangan kalendar promosi, mengira semula kos produk dengan tepat serta menentukan harga jualan yang sekaligus menghasilkan peningkatan jualan sebanyak 123%.

 

Manakala 68% peningkatan hasil jualan berjaya diciapai oleh Nor Hasnaa’ Kamilah Mohd Dalim yang mengikuti Program IBBC Pencetakan dan Servis Berkaitan.

 

Faktor yang mempengaruhi peningkatan hasil jualan ketika mengikuti program ini adalah apabila beliau membuat pengurusan serta menggunakan data pelanggan dan berjaya mengenalpasti Unique Selling Points (USP) bagi servis yang ditawarkan.

 

Maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my dan media sosial rasmi INSKEN. - DagangNews.com