KUALA LUMPUR 24 Jun - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$114.1 bilion pada 14 Jun 2024, berbanding AS$113.6 bilion pada 31 Mei 2024.
BNM dalam kenyataan hari ini berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa merangkumi rizab mata wang asing berjumlah AS$101.9 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
ARTIKEL BERKAITAN: Aset rizab rasmi Malaysia susut kepada AS$112.79 bilion pada akhir April 2024 - BNM
Katanya, aset bank pusat itu berjumlah RM644.62 bilion, yang terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR (RM540.47 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.91 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM3.69 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.84 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM58.56 bilion).
BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM201.57 bilion), mata wang dalam edaran (RM167.31 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM153.96 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM5.55 bilion), deposit lain (RM63.06 bilion), kertas Bank Negara (RM19.21 bilion), peruntukan SDR (RM30.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.61 bilion). - DagangNews.com