Ringgit lemah tingkatkan kos bahan mentah, AmInvestment berhati-hati margin untung Nestle, Guan Chong | DagangNews Skip to main content

Ringgit lemah tingkatkan kos bahan mentah, AmInvestment berhati-hati margin untung Nestle, Guan Chong

Menurut data AmInvestment, harga koko dan kopi pada Mac 2024 masih dalam aliran menaik dengan kopi naik 10% berbanding tahun sebelumnya./Gambar hiasan laman web Nestle
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mac - AmInvestment Bank berhati-hati terhadap margin keuntungan kasar Nestle, Power Root dan Guan Chong disebabkan kelemahan nilai mata wang ringgit.akan meningkatkan kos bahan mentah yang diimport.

 

"Kami menjangkakan harga koko dan minyak sawit akan terus meningkat berikutan bekalan yang terhad, manakala harga bahan mentah lain dijangka stabil. 

 

"Walaupun terdapat penurunan dalam beberapa kos bahan mentah, kami berhati-hati terhadap margin keuntungan kasar Nestle, Power Root dan Guan Chong disebabkan oleh kelemahan dalam mata wang domestik, yang akan meningkatkan kos bahan mentah yang diimport," katanya hari ini.

 

Menurut nota penyelidikan AmInvestment, harga koko dan kopi pada Mac 2024 masih dalam aliran menaik dengan kopi naik 10% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Baru-baru ini, harga minyak sawit juga meningkat sebanyak 14% YTD kepada RM4,173/tan.

 

"Sebaliknya, harga gandum, jagung dan kacang soya telah menurun sebanyak 6%-34% YoY pada Mac 2024," kata firma itu.

 

Sementara itu, AmInvestment menjangkakan sektor barangan pengguna dipengaruhi ketidaktentuan makroekonomi dan sikap pengguna yang berhati-hati dalam perbelanjaan.  

 

Menurutnya, pengguna sedia mengutamakan harga produk yang kompetitif atau item tidak berjenama di samping memilih pek bersaiz lebih kecil atau pilihan nilai untuk segmen makanan dan minuman (F&B).

 

"Kami mengekalkan saranan 'Neutral' pada sektor ini berasaskan perbelanjaan berhati-hati pengguna pada masa hadapan," katanya.

 

Menurut firma itu, sentimen pengguna secara keseluruhan kekal lemah walaupun pada musim perayaan dan cuti sekolah.

 

Kata kajian itu, pengguna terus berhati-hati dalam perbelanjaan mengikut budi bicara memandangkan ketidaktentuan makroekonomi. 

 

"Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melaporkan penurunan dalam indeks sentimen pengguna sebanyak 15% YoY kepada 89.4 mata berbanding 4QCY22. 

 

"Walaupun inflasi kekal rendah, potensi rasionalisasi subsidi boleh meningkatkan tekanan inflasi di hadapan," jelasnya.

 

Kata AmInvestment, pengguna akan lebih arif dalam perbelanjaan mereka, terutamanya barangan mengikut budi bicara.

 

Katanya, apatah lagi kerajaan telah dan akan memperkenalkan beberapa cukai atau kadar baru cukai pada 2024.

 

"Pilihan utama kami sektor ini ialah LHI untuk operasi bersepadu sepenuhnya yang menyediakan kusyen terhadap kejutan inflasi, dan Spritzer untuk penjenamaan domestik yang kukuh dan ketibaan pelancong yang semakin meningkat.

 

"Kami juga menyukai pemain runcit seperti Mr DIY untuk rancangan pengembangan rangkaian kedainya dan campuran produk yang lebih baik dengan memperkenalkan SKU baharu untuk memenuhi keperluan segmen pasaran mampu milik," katanya. - DagangNews.com