Ringgit diunjur mengukuh ke paras RM4.42 sedolar AS akhir 2024 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Ringgit diunjur mengukuh ke paras RM4.42 sedolar AS akhir 2024 - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ringgit diunjur terus mengukuh kepada RM4.42 berbanding setiap dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun 2024 berikutan penyatuan fiskal, kadar dasar Bank Negara Malaysia (BNM) yang stabil dan prospek pertumbuhan yang kukuh.

 

Pada 8 pagi ini, ringgit naik kepada 4.4930/5010 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 pada Jumaat lepas. Ini menandakan ringgit terus mengekalkan momentum meningkatnya selama 11 hari berturut-turut berbanding dolar AS. 

 

Kenanga Research berkata, selepas tempoh kelemahan yang berpanjangan, ringgit yang mencatatkan prestasi baik kebelakangan ini dijangka mencatatkan pengukuhan lanjut memandangkan indeks dolar AS dijangka turun pada suku keempat 2024 (4Q24).

 

Kata firma penyelidikan itu, penurunan indeks dolar AS ini didorong oleh potongan kadar faedah Rizab persekutuan AS (Fed) yang diunjurkan berlaku pada September 2024.

 

"Dengan penyatuan fiskal, kadar dasar BNM yang stabil dan prospek pertumbuhan yang kukuh, ringgit mungkin mengukuh kepada RM4.42 berbanding AS$1 menjelang akhir tahun 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelabur asing kembali beli saham bank Malaysia susulan pengukuhan ringgit, ekonomi - Maybank IB

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, ringgit sebelum ii didagangkan melebihi paras RM4.60/AS$1 sepanjang separuh pertama 2024 (1H24) yang menandakan tempoh kelemahan terpanjang dalam rekod. 

 

Katanya, ringgit mencatatkan paras terendah sekitar RM4.80/AS$1 pada bulan Februari disebabkan pendirian Fed yang “lebih tinggi untuk lebih lama” dan prospek ekonomi China yang lemah. 

 

Menurut firma itu, petunjuk terkini oleh Fed tentang potongan kadar pada bulan September di tengah-tengah tanda-tanda inflasi yang mereda telah meningkatkan permintaan untuk aset Malaysia, memberi manfaat kepada ringgit dan menolaknya di bawah RM4.50/AS$1.

 

"Indeks dolar yang lebih rendah dijangka berada di sekitar paras 101.0 - 102.0 pada 4Q24 mungkin akan mengukuhkan lagi ringgit, berdasarkan jangkaan potongan kadar Fed sebanyak 25 mata asas pada bulan September dan Disember di tengah-tengah penurunan pasaran pekerjaan dan inflasi yang perlahan, bersama-sama dengan peningkatan kadar gagal bayar kad kredit dan pinjaman kereta," jelasnya.

 

Walau bagaimanapun, kata Kenanga Research, prospek tetap berubah-ubah memandangkan kemungkinan tempoh kembalinya kepimpinan Trump yang semakin meningkat.

 

"Di dalam negara, usaha kerajaan untuk mengurangkan hutang melalui penyatuan fiskal mungkin akan meningkatkan keyakinan pelabur dan membawa kepada kemungkinan peningkatan penarafan kredit, memandangkan defisit fiskal dijangka mengecil.

 

"Dengan kebanyakan bank pusat global dijangka memotong kadar dasar mereka pada 1H24, jangkaan kami BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00% untuk 12-18 bulan akan datang seharusnya menarik aliran modal masuk.

 

"Digabungkan dengan prospek pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak 4.5% - 5.0% pada 2024 (2023: 3.6%) dan 4.9% pada 2025, ini menyokong prospek optimis untuk ringgit.

 

"Oleh itu, kami kekalkan unjuran kami untuk dolar AS berbanding RM pada RM4.42 bagi setiap dolar AS menjelang akhir 2024, walaupun risiko penurunan masih wujud disebabkan oleh ketidakpastian politik AS," ujarnya. - DagangNews.com