KUALA LUMPUR 14 Dis - Indeks utama FBM KLCI diunjur kekal berlegar sekitar 1,630 mata pada akhir 2023 disokong prospek ekonomi dan nilai ringgit yang lebih kukuh, demikian menurut AmInvestment Bank Research.
Mata wang tempatan akan berlegar sekitar RM3.95 hingga RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun hadapan meskipun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menyederhana kepada 4.5% daripada 8.5 hingga 9% tahun ini.
Penganalisisnya, Alex Goh berkata, unjuran itu kekal lebih baik berbanding prospek kemelesetan di AS dan Eropah dengan jangkaan untuk penetapan semula trajektori kadar faedah AS pada separuh kedua 2023.
"Senario terbaik daripada perubahan dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) yang mendadak, pemansuhan sepenuhnya sekatan COVID-19 di China dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik daripada jangkaan akan menjadikan sasaran FBM KLCI tahun hadapan pada 1,740 mata.
"Namun, kami tidak menolak ketidaktentuan ekuiti daripada lebih banyak kejutan kenaikan kadar AS dengan gangguan rantaian bekalan daripada penutupan COVID-19 yang terputus-putus di China, ketegangan perdagangan AS-China dan Rusia dijauhi oleh ekonomi global," katanya dalam laporan strategi mengenai prospek 2023, hari ini.

Firma itu mendapati tekanan jualan asing meningkat kepada RM1 bilion bagi tempoh 1 hingga 12 Disember, melonjak daripada jualan bersih yang dicatatkan pada November sebanyak RM282 juta.
Dalam tempoh lapan hari, tekanan jualan itu telah diimbangi oleh pembelian institusi tempatan sebanyak RM1.2 bilion yang menstabilkan KLCI pada 1,470 mata, masih meningkat daripada paras terendah dua tahun pada 1,373 mata direkodkan 13 Oktober lalu, paras yang tidak dilihat sejak Mei 2020 semasa tercetusnya wabak COVID-19.
Walaupun aktiviti belian bersih institusi tempatan baru-baru ini sedikit melegakan di tengah-tengah urus niaga 'countercyclical' dengan pelabur asing, pelabur institusi tempatan masih menjadi penjual bersih setakat ini sebanyak RM7 bilion.
Sejak awal tahun ini, kelemahan ekuiti Malaysia sebahagiannya diimbangi oleh sokongan belian asing yang mencecah RM4.7 bilion.
Ini menyumbang hanya 67% daripada jualan bersih tempatan terkumpul pada tahun ini, berikutan pendirian Fed yang agresif dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Malaysia.

Menurut Goh, ringgit telah mengukuh setakat ini sebanyak 8% kepada RM4.40 berbanding dolar AS daripada RM4.75 pada 4 November lalu berikutan resolusi PRU15.
Dengan ringgit diunjur terus mengukuh kepada RM3.95 hingga RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir 2023, ia akan memberi manfaat kepada saham syarikat berkaitan automotif, pengguna (seperti Leong Hup International dan Spritzer) dan pengangkutan (seperti Capital A, yang akan membauar harga bahan api dan kos faedah lebih rendah).
Bagaimanapun, pengukuhan ringgit akan memberi impak negatif kepada hasil syarikat pengeluar sarung tangan getah (Top Glove, Hartalega dan Kossan), pengeksport (seperti Ancom Nylex) dan syarikat perkapalan serta minyak & gas (O&G) seperti MISC, Hibiscus Petroleum, Yinson dan Bumi Armada.
"Didorong oleh tinjauan mata wang kami yang lebih kukuh, kami menjangkakan pulangan pembeli ekuiti asing di tengah-tengah penilaian ekuiti Malaysia yang menarik dan unjuran pertumbuhan KDNK dalaman 2023 kami sebanyak 4.5% berbanding purata global sebanyak 2.1% dan AS sebanyak 0.4%," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, AmInvestment menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Januari 2023 akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00%, sepanjang tahun hadapan.
Mengambil kira pendirian agresif Fed, jangkaan konsensus mengenai kenaikan kadar tambahan tahun ini boleh meningkatkan kadar daripada 4.25% kepada 4.50% pada masa ini.
"Namun, pakar ekonomi kami menjangkakan ekonomi AS yang semakin lemah akan mencetuskan perubahan dasar menjelang separuh kedua 2023, yang akan menyebabkan kadar Fed menurun kepada 3.5 hingga 3.75% (berbanding 4.7% konsensus) pada tahun hadapan," katanya.

Mengenai pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15, Goh menjangkakan lebih banyak perubahan dalam proses pentadbiran dan kelulusan yang mungkin boleh menangguhkan projek pembinaan berkaitan kerajaan kerana perlu diperoleh melalui tender terbuka.
Katanya, memandangkan kerajaan baharu berhasrat untuk menangani tekanan inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi, beliau tidak menolak kemungkinan kelewatan kelulusan dan semakan surcaj elektrik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada separuh pertama 2023 dan tarif pengangkutan gas di bawah tempoh kawal selia kedua.
"Bagi sektor pengguna, langkah baharu boleh diperkenalkan di bawah subsidi semasa yang diberikan kepada barangan keperluan seperti ayam dan ternakan.
"Untuk sektor telekomunikasi pula, struktur penggunaan 5G mungkin dikaji semula untuk mengelakkan kebocoran," tambahnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan, O&G, automotif, hartanah, REIT, penjagaan kesihatan dan media.
Pilihan utamanya ialah saham Maybank, RHB Bank, CIMB, Yinson, Telekom Malaysia, Dialog Group, Inari Amertron, Sunway REIT dan DuoPharma BioTech. - DagangNews.com








