KUALA LUMPUR 21 April - Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah yang kembali susut menyaksikan ringgit dibuka rendah pagi ini.
Mata wang itu memulakan dagangan pada RM4.1180/1230 berbanding dolar AS, lebih rendah daripda penutupan semalam, RM4.1130/1180.
HLIB Research berkata, dolar AS mengakhiri kerugian selepas 6 hari dengan kenaikan sederhana didorong oleh permintaan baharu bagi aset selamat.
Katanya, bagaimanapun, pergerakan mata wang utama ini dilihat masih sedikit menurun dengan hasil perbendaharaan akan menjadi penentu.
"Kami beralih kepada neutral bagi dagangan dolar AS/ringgit memandangkan dolar AS kembali meningkat berbanding mata utama yang lain.
"Tetapi, kami masih mengekalkan julat dagangan antara RM4.1150 hingga RM4.1350 minggu ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sementara itu, menurut Reuters, harga minyak mentah kembali susut daripada paras tertinggi sebulan pada Selasa ekoran peningkatan jangkitan COVID-19 di India, yang mungkin menyaksikan perintah berkurung dilaksanakan.
India merupakan pengimport ketiga terbesar minyak mentah dunia.
Brent mengakhiri dagangan dengan susut 48 sen kepada AS$66.57 setong setelah mencapai paras tertinggi sejak 18 Mac dalam sesi dagangan sebelum itu. Bagi West Texas Intermediate pula, ia jatuh 94 sen kepada AS$62.44 setong. - DagangNews.com








