KUALA LUMPUR 22 Julai - RHB Research menyemak turun harga sasaran (TP) Cahya Mata Sarawak Bhd. kepada RM1.40 daripada RM1.60 sebelum ini, dengan saranan 'beli' dikekalkan.
Meskipun mengekalkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), tetapi, ia mengurangkan unjuran untung bersih bagi FY23 dan FY24 masing-masing pada 25% dan 27%, selepas mengambil kira ketiadaan OM Materials (Sarawak).
"Kami juga melancarkan asas penilaian dari FY22 kepada FY23, dan memasukkan harga untuk pelupusan tersebut (RM526.6 juta) ke dalam penilaian.
"Hasilnya, kami memperoleh TP baharu sebanyak RM1.40 sesaham selepas menganggap diskaun ESG sebanyak 12% kepada nilai intrinsiknya, berdasarkan metodologi dalaman kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 14 Jun lalu, Cahya Mata Sarawak memeterai perjanjian jualan saham dengan OM Materials (S) untuk pelupusan 25% kepentingannya dalam OM Materials (Sarawak) dan OM Materials (Samalaju) bernilai RM526.6 juta yang dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
Jangkaan keuntungan bersih daripada pelupusan ialah sebanyak RM147.6 juta selepas mengurangkan perbelanjaan pelupusan.
Menurut RHB Research, walaupun harga pelupusan itu adalah lebih rendah daripada anggaran awalnya sebanyak RM912 juta, tetapi kumpulan boleh mengelak risiko harga ferrosilikon yang lebih lemah, setelah meningkat pada Oktober 2021.
Dalam pada itu, firma tersebut melihat prospek kumpulan yang lebih baik selepas mengadakan lawatan ke kemudahan fosfat bersepadu Malaysia Phosphate Additives (Sarawak) (MPAS) di Taman Perindustrian Samalaju (SIP).
MPAS ialah usaha sama di bawah pakatan strategik antara Samalaju Industries (anak syarikat milik penuh Cahya Mata Sarawak), Malaysian Phosphate Ventures dan Arif Enigma.
Fasa 1 kompleks fosfat bersepadu Samalaju dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2022, dengan jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM1 bilion.
Di bawah fasa pertama, kompleks itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran 48,000 tan setahun (tpa) untuk fosforus kuning (YP), 75,000 tpa untuk asid fosforik teknikal (TPA) dan 60,000 tpa untuk asid fosforik gred makanan (FGA).
"Pengurusan memberi petunjuk bahawa kompleks itu akan mencatatkan beberapa kerugian pada FY22, sebelum pulang modal pada FY23 dan sebelum menyaksikan keuntungan pada FY24," jelasnya.
Setakat 11.43 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 2.2% kepada 93 sen dengan 1.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








