RHB kekal saranan 'beli' untuk Kelington selepas catat perkembangan positif | DagangNews Skip to main content

RHB kekal saranan 'beli' untuk Kelington selepas catat perkembangan positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Kelington Group pada harga RM1.70 sesaham selepas mendapati pendapatan teras mereka berkembang sebanyak 40% bagi FY2022F.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan kumpulan mengesahkan mereka memiliki sumber pendapatan kukuh dipacu oleh permintaan tinggi terhadap peralatan daripada kilang pembuatan besi dan perkembangan dalam segmen gas industri selain berjaya menyerap kenaikan kos bahan mentah. 

 

"Walaupun sumber semakin berkurangan namun pihak pengurusan kumpulan berpendapat bahawa mereka masih di landasan baik untuk menguruskan projek baharu selain menguruskan projek sedia ada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memiliki tempahan tertunggak bernilai RM1.3 bilion merangkumi kerja-kerja daripada Micron, Global Foundries dan Siltronics yang berjaya diperolehi pada FY2021.

 

Di Singapura, Kelington berada di landasan terbaik untuk mendapatkan kontrak pembinaan untuk United Microelectronics Corporation’s (UMC).

 

"Di Malaysia, tender utama kumpulan itu merangkumi Projek Intel-Pelica di Bayan Lepas, pembesaran Infineon (Melaka/Kulim), kilang Austria Technologie & Systemtechnik AG (AT&S) dan Silterra (Kulim). 

 

"Mereka sudah mulan mebekalkan barangan untuk industri makanan dan minuman (F&B) pada skala kecil (perbincangan masih diteruskan untuk perjanjian perbekalan jangka panjang) dan pengurusan juga menjangkakan peningkatan penggunaan kilang kepada 80% pada FY2022F selaras dengan pemulihan ekonomi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu, menyemak turun semula pendapatan bagi FY2022F sebanyak 5.2% akibat berlaku kelewatan bagi projek di Sarawak yang bernilai RM420 juta (30% daripada tempahan) kerana berlaku pertukaran spesifikasi rekaan.

 

"Bagi pendapatan FY2023F dan FY2024F, kami menaikkan unjuran sebanyak 14% ke 15% dengan mengandaikan berlakunya pertambahan tempahan," katanya. - DagangNews.com