RHB Investment unjur pelanggan Starbucks susut sehingga 40% kesan boikot berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment unjur pelanggan Starbucks susut sehingga 40% kesan boikot berterusan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Kunjungan ke premis jenama kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dianggarkan susut sehingga 40% susulan tindakan boikot dilaksanakan secara meluas oleh rakyat Malaysia terhadap produk yang didakwa berhubung kait dengan sokongan ke atas Israel.

 

RHB Investment berkata gambaran itu menyaksikan persekitaran perniagaan pengendali Starbucks Coffee, Berjaya Food Bhd (BFood) bertukar saranan kepada 'berwaspada', memandangkan gerakan boikot terhadap jenama kopi terkemuka itu mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan, sekiranya tiada penyelesaian jangka dekat untuk konflik Israel-Hamas.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata keadaan selepas tempoh boikot mungkin tidak dapat pulih dengan begitu mudah dan BFood mungkin perlu berusaha keras untuk meraih semula bahagian pasarannya, ekoran persaingan sengit.

 

Oleh yang demikian, RHB Investment berkata pendapatan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024  (FY24) adalah 25% lebih rendah berbanding ramalan konsensus, dan firma itu berpendapat bahawa harga saham masih belum mencerminkan risiko negatif yang menekan pendapatan kumpulan itu.

 

"Hasil semakan lapangan, kami melawat beberapa cawangan Starbucks Coffee di pusat beli-belah ketika waktu puncak dan mendapati jumlah kunjungan pelanggan agak rendah berbanding tahap biasa, meskipun pusat beli-belah berkenaan sesak dengan pengunjung.

 

"Namun begitu, kebanyakan jenama pesaingnya menerima jumlah kunjungan pelanggan seperti biasa. Situasi ini dilihat lebih buruk berbanding yang dijangka dan perkara ini mungkin akan mendesak Starbucks Coffee untuk menjalankan promosi dengan lebih agresif.

 

"Hal ini berkemungkinan menyebabkan margin untung kasar (GPM) menyusut dengan ketara. Malangnya, gerakan boikot ini terjadi pada hujung tahun yang lazimnya menerima kunjungan pelanggan yang tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment berkata kehilangan penguasaan pasaran sebegitu mungkin bukan untuk sementara, kerana gerakan boikot terhadap jenama terbabit boleh menyebabkan pengguna mencuba pilihan lain, lantas memberi peluang kepada pesaing untuk memanfaatkan tindakan itu dan mengurangkan bahagian pasaran Starbucks Coffee.

 

Jelasnya, peralihan kepada jenama pesaing ini mungkin berterusan, terutamanya dalam kalangan pelanggan yang tidak begitu mementingkan soal jenama minuman, dan yang memilih untuk membeli minuman mereka tanpa menjamu di kedai.

 

"Hal ini juga akan menjejaskan rancangan pengembangan besar-besaran BFood untuk FY24 dengan sasaran membuka 40 hingga 50 kedai," katanya.

 

RHB Investment menurunkan taraf saranan saham BFood kepada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 46 sen sesaham selepas unjuran untung bersih tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) diturunkan masing-masing sebanyak 21%, 17% dan 7%.

 

Pada rehat tengah hari, saham BFood kekal pada 61 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM1.19 bilion. - DagangNews.com