RHB Investment semak naik pendapatan ELK-Desa bagi FY23-25 didorong peningkatan segmen sewa beli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment semak naik pendapatan ELK-Desa bagi FY23-25 didorong peningkatan segmen sewa beli

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - RHB Investment menaikkan pendapatan ELK-Desa Resources Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 6 hingga 7%.

 

Firma penyelidikan itu mengambil kira pertumbuhan pinjaman sewa beli lebih tinggi namun diimbangi andaian kos kredit dan kewangan lebih konservatif untuk FY24-25, di samping peningkatkan andaian kos ekuiti kepada 10% daripada 8% akibat persekitaran pasaran semasa yang tidak menentu.

 

Menurut firma itu, unjuran itu menghampiri 11 hingga 12% anggaran terhadap pemain industri yang lain, walaupun dengan diskaun, disebabkan hasil terbaik ELK-Desa.

 

ELK-Desa mampu mencapai sasaran pinjaman sewa beli lebih awal daripada masa yang ditetapkan, di mana kumpulan itu telah menyasarkan kembali ke tahap pra-pandemik kira-kira RM600 juta menjelang tahun kewangan 2024 (FY24).

 

“Panduan daripada pihak pengurusan mencadangkan bahawa ia akan terus mengagihkan kira-kira RM60 hingga 75 juta setiap suku, membayangkan pertumbuhan dua angka mengikut anggaran kami,” katanya dalam nota hari ini.

 

Buat masa ini, firma itu meramalkan pertumbuhan pinjaman sewa beli yang lebih konservatif sebanyak 8 hingga 9% untuk FY24-25 walaupun masih berada di peringkat teratas industri.

 

Di samping itu, kos kredit lebih rendah daripada jangkaan telah menyumbang kepada prestasi cemerlang kumpulan pada FY23 disebabkan hapus kira bersih yang besar pada suku pertama.

 

Firma itu sentiasa berhati-hati terhadap kualiti aset kumpulan memandangkan kedudukannya berdekatan dengan segmen B40 dan M40, dan menandakan kos kredit lebih tinggi daripada jangkaan sebagai risiko penurunan utama kepada anggaran pendapatan.

 

Selain itu, kumpulan itu mungkin berhadapan dengan tekanan pembiayaan memandangkan ELK-Desa bergantung kepada kemudahan pendiskaunan blok dan pinjaman berjangka.

 

“Sejajar dengan pertumbuhan pesat pinjaman sewa beli bagi tahun 2023 setakat ini, kumpulan itu terpaksa mengambil penggearan lebih tinggi, di mana hutang-kepada-ekuiti bersih berada pada 0.34 kali pada akhir 3QFY23, meningkat daripada 0.14 kali pada akhir FY22,” jelasnya.

 

RHB Investment berkata dengan pihak pengurusan berminat untuk mengekalkan kadar pertumbuhan pinjaman sewa beli sedemikian, firma itu juga meletakkan kos kewangan yang lebih tinggi sebagai risiko penurunan kepada pendapatan.

 

Firma itu menurunkan saranan kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.15 daripada RM1.33 -DagangNews.com