KUALA LUMPUR 20 Feb - RHB Investment Research mengekalkan saranan ‘beli’ untuk saham Telekom Malaysia (TM) dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM5.90 daripada RM7.55.
Menurut firma penyelidikan itu, terdapat risiko negatif pada pendapatan TM berikutan penurunan mendadak pada harga akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di samping boleh memperbaharui persaingan harga runcit jalur lebar gentian (FBB).
"Faktor pengurangan adalah pertumbuhan borong berstruktur melibatkan 5G bagi memperluaskan jejak gentian di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan usaha pengoptimuman kos yang berterusan,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu mengurangkan pendapatan TM pada FY23-24 sebanyak 8 hingga 20% selepas menyederhanakan andaian mereka terhadap pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) unifi dan borong sebanyak 5 hingga 10%.
Mengulas berkenaan penurunan harga HSBB, firma itu berkata, semakan semula Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) pada 16 Februari dan harga akses baharu akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2023 sehingga 31 Disember 2025.
Harga akses adalah 17 hingga 39% lebih rendah dan penurunan ini berpotensi menyekat pelaburan dalam mengembangkan jejak gentian negara.
Langkah ini dijangka memberi kesan negatif kepada TM memandangkan perniagaan borongnya akan mengalami pertumbuhan berstruktur.
“Harga akses yang lebih rendah adalah membimbangkan, di mana ia akan menyebabkan persaingan harga runcit baharu oleh pencari akses HSBB daripada kos borong yang lebih rendah seperti yang berlaku pada 2018,” kata firma tersebut.
Hal tersebut boleh memberi tekanan terhadap perkhidmatan unifi TM yang menyumbang kira-kira 36% daripada pendapatan syarikat.
Menurut RHB Investment, kesan negatif dapat dikurangkan dengan pertumbuhan teguh borong iaitu kira-kira 28% daripada pendapatan, di samping manfaat daripada jejak gentian yang berkembang di bawah JENDELA, kini lebih daripada 7 juta premis serta permintaan terhadap gentian 5G dan permintaan data antarabangsa yang kukuh.
Pendapatan borong TM meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 10% untuk FY18-FY21 serta 18% pada September 2022 dengan pertumbuhan dua angka diujurkan untuk FY22-FY24.
“Pada pandangan kami, kesan ke atas pendapatan unifi mungkin ditimbal oleh tawaran FBB yang sudah kompetitif di pasaran dengan sebahagian besar pelanggan menaik taraf kepada pelan kelajuan lebih tinggi,” katanya.
Tambah firma itu, kos borong sebenar bergantung kepada tahap perkhidmatan yang diperoleh pencari akses. -DagangNews.com








