RHB Investment positif sektor huluan minyak dan gas raih manfaat perbelanjaan modal Petronas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment positif sektor huluan minyak dan gas raih manfaat perbelanjaan modal Petronas

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Mac - Penyedia perkhidmatan huluan berkaitan minyak dan gas akan terus meraih manfaat daripada peruntukan perbelanjaan modal  (capex) Petronas yang berjumlah di antara RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun.

 

Menurut RHB Investment Bank (RHB Investment), perbelanjaan capex Petronas terus meningkat pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4Q23) (+42% QoQ) kepada RM18.4 bilion, menjadikan angka FY23 kepada RM52.8 bilion (+5% YoY) dengan segmen huluan merupakan penyumbang terbesar sebanyak 51% diikuti oleh perniagaan gas dan Gentari pada 18% dan 12%.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'Overweight' dengan pilihan utama ialah Dialog, Yinson dan Dayang Enterprise.

 

"Walaupun Petronas menjangkakan harga minyak lebih rendah untuk 2024, kami kekal positif terhadap peserta perkhidmatan huluan kerana aktiviti mampan dalam segmen ini harus disokong oleh peruntukan belanja modal syarikat minyak negara," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, pihaknya mengekalkan unjuran harga minyak mentah pada harga AS$85-AS$80 satu tong untuk tahun 2024-2025.

 

Jelasnya, malah harga minyak mungkin meningkat dalam tempoh terdekat jika ketegangan geopolitik seperti di Asia Barat terus meningkat.

 

Petronas menerusi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz pula katanya, menjangkakan pembetulan harga minyak tahun ini dengan unjuran AS$73 satu tong dalam tempoh terdekat dan AS$63 satu tong dalam jangka panjang.

 

Kata RHB Investment, risiko kepada syarikat yang terlibat dalam aktiviti huluan ialah harga dan permintaan minyak yang lebih lemah, serta pengurangan dalam perbelanjaan oleh pelanggan.

 

"Secara keseluruhan, kami kekal positif terhadap pemain perkhidmatan huluan pada 2024 dengan aktiviti yang berterusan walaupun suku tahun pertama lazimnya merupakan suku musim yang lemah disebabkan musim tengkujuh. 

 

"Aktiviti penggerudian kekal kukuh, sama seperti aktiviti penyelenggaraan," kata firma penyelidikan itu.- DagangNews.com