RHB Investment positif prospek projek hartanah di Ho Chi Minh kepada pendapatan Kumpulan Gamuda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment positif prospek projek hartanah di Ho Chi Minh kepada pendapatan Kumpulan Gamuda

Salah sebuah galeri pameran Gamuda Land di Ho Chi Minh. - Gambar DBA
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mei - RHB Investment Bank meramalkan projek hartanah Gamuda Land di Vietnam akan terus menyumbang sekurang-kurangnya 25-30% daripada pendapatan kumpulan dalam tahun-tahun mendatang.

 

Kata firma penyelidikan itu, pihaknya percaya operasi Gamuda Land di bandar raya Ho Chi Minh akan terus berkembang dan menjadi pendorong utama pertumbuhan syarikat itu di Vietnam.

 

"Secara keseluruhan, bekalan hartanah kekal rendah sementara permintaan dijangka kekal stabil yang kukuh di tengah-tengah kadar faedah yang rendah serta pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih baik di Ho Chi Minh.

 

"Pada 1QCY24, bekalan utama apartmen di bandar tersebut mencapai 4,922 unit (-27% YoY). Proses penyelesaian undang-undang yang lambat terus memberi impak kepada bekalan baru pasaran. 

 

"Sebaliknya, bekalan baru mencatatkan penyerapan tinggi sebanyak 80%, menunjukkan pasaran apartmen yang dinamik di Ho Chi Minh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah RHB Investment, secara keseluruhannya, pihaknya berpendapat Gamuda Land merancang untuk melaburkan hampir RM4 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dengan tumupuan kepada bandar raya di selatan Vietnam itu.

 

Katanya, pelancaran baru dalam tempoh terdekat termasuk The Meadow dan Springville yang akan ditempatkan secara strategik berdekatan dengan lebuh raya utama.

 

"Celadon City sudah hampir siap dan Gamuda Land mungkin akan memberi tumpuan lebih kepada projek dengan yang terkini ialah Eaton Park di Bandar Thu Duc (GDV: kira-kira RM5 bilion ). 

 

"Eaton Park dilancarkan secara rasmi pada 18 Mei dengan kadar pengambilan sebanyak 95% (untuk fasa pertama merangkumi 600 unit di dua menara) dalam masa dua jam selepas pelancaran," jelasnya.

 

Sementara itu, RH  Investment kekalkan sarana Beli saham Gamuda dengan harga sasaran baru RM6.55 sesaham daripada RM6.30, naik sebanyak 17%, dengan pulangan 2% FY25F (Jul). 

 

"Kami tidak membuat perubahan kepada anggaran pendapatan kami, tetapi mengambil peluang untuk menyesuaikan diskaun kepada RNAV hartanah kepada 45% daripada 50%. 

 

"Ini adalah untuk mencerminkan prospek cerah pasaran hartanah HCMC, yang dijangka akan mendorong pertumbuhan segmen hartanah luar negara Gamuda," ujarnya.- DagangNews.com