KUALA LUMPUR 9 Jun - RHB Investment menaikkan taraf saranan saham Gamuda Berhad kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) baharu pada RM4.95 sesaham daripada RM4.35 sebelumnya.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa ia melihat Gamuda sebagai lindung nilai strategik terhadap risiko penurunan daripada sektor pembinaan tempatan memandangkan projek luar negaranya besar, yang merangkumi sekitar 88% daripada buku pesanan tertunggak kumpulan, menjamin peningkatan saranan tersebut.
“Tidak termasuk pelaksanaan pengimbangan semula Indeks MSCI pada 31 Mei, peratusan saham Gamuda didagangkan setiap hari di bawah Indeks Pembinaan KL kekal rendah daripada 20% sejak kenaikan dalam Februari, membayangkan peningkatan peluang berdasarkan prospek yang lebih baik di luar negara,” jelasnya dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, majoriti projek di luar negara kumpulan itu adalah dari Australia pada 71% atau RM14.6 bilion daripada buku pesanan tertunggaknya yang bernilai RM20.5 bilion.
Tambahnya, projek Sydney Metro West dengan nilai kontrak RM6.5 bilion sedang berjalan dengan baik berdasarkan laporan media pada akhir Mei, manakala keputusan untuk bidaan kerja-kerja terowong Suburban Rail Loop (SRL) East dijangka diketahui menjelang akhir tahun ini.
Sebagai tambahan kepada projek infrastruktur biasa, firma itu berkata Gamuda juga mengintai projek tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti pam hidro di Tasmania.
Bagi projek di Malaysia pula, RHB Investment berkata kumpulan itu sedang memperluaskan lagi pembidaan projek, di mana selain pakej terowong CMC03 Mass Rapid Transit 3 (MRT3), Gamuda juga telah di peringkat pra-kelayakan untuk pakej sistem yang dianggarkan pada RM6.3 bilion.
“Penglibatannya dalam projek Jalan Trunk Kedua (STR) dan Lebuhraya Pan Borneo (PBH) Sarawak akan membolehkan kumpulan itu mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapatkan pakej daripada baki fasa PBH, sama ada di Sarawak atau Sabah.
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa sasaran penambahan kerja tahun kewangan 2024 hingga 2025 (FY24-25) kami sebanyak RM13 bilion dan RM10 bilion adalah munasabah pada ketika ini,” tambahnya.
Manakala pengurangan skala projek Pulau Pinang Selatan (PSI) tidak memberi kesan kepada Gamuda memandangkan perjanjian sedia ada dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSG) hanya berkaitan Pulau A, jelasnya.
Setakat pukul 11:40 pagi ini, saham Gamuda menokok 7 sen atau 1.7% kepada RM4.19, memberikannya modal pasaran berjumlah RM11.1 bilion. -DagangNews.com








