KUALA LUMPUR 14 Okt - Sektor bahan binaan dilihat masih berdepan bekalan aluminium global yang ketat di samping peningkatan nyahkarbonan global ke arah aluminium kandungan karbon rendah dan permintaan simen semakin meningkat sementara menunggu pelancaran projek infrastruktur selepas pilihan raya umum.
Ini mendorong RHB Investment Bank mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor tersebut dengan pilihan utamanya ialah saham Press Metal Aluminium Holdings Bhd.
Penganalisisnya, Ong Chun Sung berkata, Press Metal merupakan proksi bagi pelebur aluminium yang menghasilkan karbon rendah di rantau ASEAN dan dasar perlindungan proaktifnya yang sepatutnya melindungi harga jualan purata yang direalisasikan di tengah-tengah kelembutan harga London Metal Exchange (LME).
Katanya, harga aluminium LME telah menjunam ke paras terendah pada AS$2,155 satu tan daripada kemuncaknya sebanyak AS$3,878 satu tan pada Mac, mewakili pembetulan sebanyak 44%.
"Walaupun nada 'hawkish' Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) secara berterusan dijangka mempengaruhi harga LME dalam tempoh terdekat, tetapi inventori LME kekal rendah pada 332,175 tan pada akhir September.
"Ini mungkin disebabkan oleh potensi kelembapan dalam permintaan kerana akibat kemelesetan global, dan dasar sifar COVID-19 di China, telah memberi kesan negatif terhadap permintaan untuk aluminium," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi simen pula, purata pengeluaran bulanan sebanyak 1.8 juta tan adalah lebih tinggi daripada purata ketika sebelum pandemik sebanyak 1.6 juta tan kerana sektor itu menyaksikan lonjakan dalam permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi.
Namun, disebabkan persekitaran operasi yang semakin mencabar iaitu kekurangan buruh dan tekanan kos sejak suku kedua telah membawa kepada aliran menurun dalam pengeluaran simen.
Pada Julai, pengeluaran simen bulanan hanya 1.1 juta tan selepas memuncak pada 2.5 juta tan pada Februari lalu.
Menurut Chun Sung, skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi Malayan Cement Bhd. (MC) walaupun terdapat peningkatan dalam faktor 'S' dengan sifar kematian di tempat kerja kerana pendedahan ESG tidak mencukupi memandangkan kekurangan pertimbangan lanjut daripada LMC berbanding operasi pemegang saham terbesarnya YTL Corp Bhd.
“Kami sebaliknya menurunkan skor ESG bagi Cahya Mata Sarawak Bhd. kepada 2.3 daripada 2.4 kerana kami berpendapat aspek tadbir urus kekal lemah dan harus terus menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pelabur,” katanya.
Secara keseluruhan, RHB Investment mendapati risiko penurunan bergantung kepada harga aluminium LME, kos bahan mentah yang lebih tinggi daripada jangkaaan dan ASP simen lebih rendah daripada jangkaan. -DagangNews.com








