RHB Bank catat untung bersih RM730.2 juta pada 1QFY24, susut 4.1% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Bank catat untung bersih RM730.2 juta pada 1QFY24, susut 4.1%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Mei - Keuntungan bersih RHB Bank Berhad untuk tiga bulan berakhir 31 Mac 2024 turun 4.1% kepada RM730.2 juta berbanding RM761.66 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23).

 

Bagaimanapun berbanding suku tahun sebelumnya, keuntungan bersih Kumpulan meningkat sebanyak 24.6% daripada RM585.9 juta pada 4QFY23.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perbankan itu berkata, pendapatan dalam suku tinjauan berjumlah RM4.4 bilion, meningkat berbanding RM3.92 bilion setahun sebelumnya.

 

Seemntara itu, RHB Bank dalam kenyataan media menjelaskan, keuntungan bersih pada suku keempat 2024 itu yang menyusut YoY disebabkan oleh peningkatan kos operasi dan kerugian kredit yang dijangka (ECL).

 

ECL bank itu ialah RM215 juta, terutamanya disebabkan oleh ECL yang lebih tinggi atas pinjaman dan hutang lapuk yang lebih tinggi dihapuskira. Nisbah caj kredit tahunan ialah 0.25%.

 

RHB berkata perbelanjaan mengurus ialah RM959.2 juta, terutamanya disebabkan kos kakitangan, pertubuhan dan pemasaran yang lebih tinggi. Nisbah kos kepada pendapatan berada pada 45.9%.

 

"Pendapatan bukan berasaskan dana melonjak 31.6% tahun ke tahun kepada RM702.7 juta, terutamanya disebabkan oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi, keuntungan bersih dari pertukaran mata wang asing dan derivatif, pendapatan bersih dari perdagangan dan pelaburan dan pendapatan bersih dari perniagaan insurans.

 

"Pendapatan bersih berasaskan dana bank meningkat sedikit YoY kepada RM1.4 bilion disokong oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan kasar sebanyak 5.4% YoY," jelasnya.

 

Menurut Kumpulan itu, margin keuntungan bersih (NIM) adalah 1.83%, manakala NIM efektif adalah 1.94% setelah mempertimbangkan pengurusan kos pembiayaan melalui inisiatif pengurusan liabiliti yang aktif.

 

Sejak awal tahun ini, pinjaman kasar dan pembiayaan kumpulan berkembang sebanyak 1.1% kepada RM224.9 bilion manakala deposit pelanggan adalah sebanyak RM242.9 bilion.

 

Jumlah semasa akaun semasa akaun simpanan (Casa) meningkat sebanyak 2.9% sejak awal tahun kepada RM70.4 bilion manakala komposisi Casa adalah sebanyak 29%.

 

 

rhb
Mohd Rashid Mohamad

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Mohd Rashid Mohamad berkata, prestasi kewangan untuk 1QFY24 adalah baik dengan mencatat peningkatan dalam pendapatan keseluruhan dan keuntungan operasi. 

 

"Kekuatan kewangan kami tetap kukuh kerana kedudukan modal dan kecairan yang kukuh serta pengurusan risiko yang teliti. 

 

"Kami akan terus meningkatkan prestasi perniagaan dan kualiti aset merebut peluang dan meningkatkan bahagian pasaran dalam segmen yang disasarkan," ujarnya. - DagangNews.com