KUALA LUMPUR 14 Julai - Reservoir Link Energy Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd untuk menyediakan perkhidmatan penebukan ‘slickline’ dan khusus.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Reservoir Link berkata LOA bertarikh 23 Jun 2023 itu diterima oleh anak syarikatnya, Reservoir Link Sdn Bhd.
Menurut kumpulan itu, kontrak tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa dari 3 Julai 2023 hingga 2 Julai 2026.
“Kontrak tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat dan tidak akan ada sebarang kesan serta-merta ke atas aset bersih sesaham dan penggearan syarikat.
“Bagaimanapun, kontrak dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) dan sepanjang tempoh kontrak,” tambahnya.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata kumpulan itu telah memperoleh lebih banyak kontrak pada 2023 untuk minyak dan gas, serta segmen tenaga boleh diperbaharui yang dilihat membuktikan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan kumpulan.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan sektor minyak dan gas akan terus berkembang bersama tenaga boleh diperbaharui.
"Kami akan terus menambah baik teknologi sedia ada dan meningkatkan penawaran perniagaan untuk memastikan kami mengekalkan kelebihan daya saing untuk mendapatkan lebih banyak kontrak pada 2023," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama, ketua eksekutif syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak.
Saham Reservoir Link ditutup pada 32.5 sen, susut 1 sen atau 3% dengan modal pasarannya bernilai RM94.4 juta. - DagangNews.com








