KUALA LUMPUR 17 Jan - RHB Investment Bank menjangkakan pasaran kekal tidak menentu pada 2023 meskipun ketidaktentuan politik semakin mereda selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Firma itu mendapati kesan positif pemangkin yang muncul daripada persekitaran politik yang lebih jelas, kitaran kadar faedah yang memuncak dan proses pembukaan semula China akan diimbangi oleh lonjakan dalam kes positif COVID-19 manakala pelabur bertindak balas kepada titik data makroekonomi dan korporat yang lebih lemah.
Selain itu, ia turut dipengaruhi aliran keluar dana asing yang berterusan kembali ke Asia Utara (dan mungkin kembali kepada pendapatan tetap).
"Kami mendapati pelabur institusi telah menjadi penjual bersih sepanjang 2022, dan menunjukkan bahawa mereka secara kolektif terus memegang paras tunai yang lebih tinggi daripada purata yang perlu digunakan dengan berkesan.
"Oleh itu, kriteria pemilihan saham utama hendaklah memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai perniagaan di peringkat domestik yang kukuh, kunci kira-kira yang teguh, kuasa penentuan harga, asas pelanggan, permintaan berulang, keupayaan untuk melepaskan kos yang lebih tinggi dan profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.

Setahun lalu, kebimbangan utama pasaran terutamanya disebabkan gelombang COVID-19 yang berulang dan sekatan pergerakan, serta risiko makroekonomi – tekanan inflasi, pengetatan monetari, kesesakan rantaian bekalan global dan dasar sifar COVID-19 di China.
Ini ditambah dengan pengawalseliaan tempatan dan kebimbangan dasar. Namun, pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi pada 2022 juga dijangka lebih baik.
Dari sudut politik, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan pembentukan kerajaan perpaduan, terdapat pengurangan ketara dalam risiko politik.
Namun, kerajaan alternatif pimpinan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan akan mengakibatkan lonjakan risiko politik dan negara.

Menurut RHB Investment, Anwar Ibrahim adalah figura yang terkenal dalam kalangan pelabur asing dan mereka menjangkakan perubahan besar dalam piawaian tadbir urus bagi membolehkan permulaan reformasi politik dan fiskal.
Malah, katanya, pelabur juga beranggapan bahawa pendekatan yang lebih berpusat untuk mentadbir negara mempunyai peluang terbaik untuk menyatukan negara, yang kini berpecah-belah berikutan kempen pilihan raya yang agak berpecah-belah semasa PRU15.
"Bagaimanapun, sementara menunggu hala tuju yang lebih jelas mengenai keutamaan kerajaan baharu, risiko pengawalseliaan kini meningkat dengan penekanan khusus kepada sektor bank, pembinaan, telekomunikasi, tenaga dan perjudian.
"Selain itu, kerajaan juga akan memerhati dengan rapat keupayaan kerajaan perpaduan terutama pembentukan Kabinet perpaduan, untuk menangani perkara-perkara yang dihadapi dan bekerjasama bagi membolehkan perdana menteri melaksanakan visi strategiknya.
"Kami berpendapat subsidi dan reformasi fiskal akan menjadi ujian kepada kejayaan kerajaan," jelasnya.

Firma itu berkata, walaupun pemangkin positif mula muncul dan akan menawarkan ruang kepada pelabur mengurangkan rasa pesimisme, risiko masih kekal untuk kejadian yang tidak dijangka yang akan menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.
"Sehubungan itu, kami masih percaya pelabur harus mengekalkan kedudukan berdaya tahan teras pada awal 2023, tetapi secara beransur-ansur akan meruncing kepada saham bernilai.
"Memandangkan prospek pertumbuhan global yang perlahan, kami lebih menyukai saham yang memiliki daya tahan dengan tumpuan berpusatkan kepada domestik," katanya.
Dalam kalangan sektor, firma itu menaikkan penarafan sektor hartanah kepada 'overweight' daripada 'neutral' manakala sektor produk getah kekal satu-satunya dengan penarafan 'underweight'. - DagangNews.com








