KUALA LUMPUR 16 Jun - Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) merangkul tempat kedua bagi anugerah berprestij BMCC Business Excellence Awards, kategori UK-Malaysia Education Institutional Partnership, yang menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan di Malaysia dan di United Kingdom.
Penganugerahan ini mengukuhkan lagi kedudukan RCSEd sebagai institusi terkemuka yang komited terhadap kecemerlangan dan memupuk kerjasama dalam bidang pendidikan.
Kerjasama antara RCSEd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mengukuhkan kekuatan dan kepakaran kedua-dua institusi, yang mana kerjasama dinamik ini, menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan perubatan dan pembedahan di Malaysia dan UK.
Naib Presiden RCSEd, Clare McNaught berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan ini bagi kerjasama dengan UKM.
Katanya, kejayaan yang telah mereka capai bersama menunjukkan betapa hebatnya hasil yang turut memberi nilai besar kepada sektor pendidikan perubatan dan pembedahan.
"Kami amat berbangga dapat menyumbang kepada pembangunan sektor ini di Malaysia dan UK, dan kami berharap untuk meneruskan kerjasama ini dengan UKM bagi tahun-tahun akan datang.
"Suka saya nyatakan bahawa salah satu kerjasama strategik yang berkesan antara RCSEd dan UKM ialah “Tuanku Muhriz Traveling Fellowship” bagi Pembedahan Luar Bandar atau “Rural Surgery” yang mempromosikan penjagaan kesihatan luar bandar dan kawasan pedalaman," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Ekhwan Toriman berkata, anugerah ini merupakan satu penghormatan bagi UKM menerima pengiktirafan melalui kerjasama dengan salah satu institusi berprestij dunia.
"Saya berharap kerjasama ini akan berterusan UKM dapat menjadi pusat latihan serta pendidikan pembedahan di rantau ini," katanya.


BMCC Business Excellence Awards 2023 merupakan satu peristiwa penting bagi RCSEd dan UKM yang telah bekerjasama selama lima tahun dan berjaya mewujudkan sinergi yang memacu hasil luar biasa.
Dengan memanfaatkan kepakaran terbaik UK dan Malaysia, RCSEd dan UKM telah meningkatkan standard pendidikan perubatan dan pembedahan, penyelidikan, dan pembangunan profesional.
Pengiktirafan ini menjadi titik tolak kedua-dua institusi untuk terus memberikan impak positif pada masa hadapan dalam bidang yang berkaitan. - DagangNews.com








