Razer tawar rumusan lengkap Visa di Malaysia, Singapura dan Filipina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Razer tawar rumusan lengkap Visa di Malaysia, Singapura dan Filipina

Lee Li Meng (kiri) dan Neil Mumm
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Razer Merchant Services (RMS), cabang B2B Razer Fintech, memperoleh lesen Pemerolehan Langsung Visa di Malaysia, Singapura dan Filipina, sebagai sebahagian daripada kerjasama serantaunya.

 

Menerusi kerjasama dengan Visa, RMS menyasarkan untuk mengembangkan lagi skim kad ke negara berkaitan merentasi pelbagai industri termasuk penjaja, e-hailing, peniaga pasaran, perkhidmatan-perkhidmatan atas permintaan, e-sukan, kerajaan, dan pendidikan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Razer Fintech, Lee Li Meng berkata, ekosistem skim pembayaran kad RMS akan dipertingkatkan lagi menerusi aplikasi Terminal Maya (VT) RMS yang menjadikan telefon pintar peniaga sebagai terminal pembayaran dengan mengaplikasikan pangkalan data luar talian fizikal.

 

Katanya, aplikasi VT akan menambah penerimaan kad tanpa sentuh dengan lancar menerusi teknologi 'Tap-on-Phone' yang lebih cekap dan kos efektif berbanding penggunaan terminal konvensional.

 

"RMS mahu memperkasakan lebih ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan keupayaan mencapai jutaan kad dan akaun di seluruh Asia Tenggara. 

 

"Menerusi kerjasama dengan Visa, RMS telahmenyelaraskan inisiatif kami dalam mendigitalkan kaedah pembayaran peniaga di seluruh Malaysia, Singapura dan Filipina," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Lee, pihaknya akan menggunapakai kaedah itu di seluruh Asia Tenggara lain seperti Thailand, Indonesia, Taiwan, dan Hong Kong. 

 

Katanya, pelanggan kepada peniaga RMS juga akan meraih manfaat daripada pengalaman pembayaran yang selamat dan dipertingkatkan menerusi penyelesaian VTS pihaknya.

 

"Kami akan terus memperkasakan ciri pembayaran inovatif bagi memastikan peniaga kami dilengkapi dengan pilihan pembayaran terbaik," katanya.

 

Ketua Jualan dan Pemerolehan Peniaga Visa Asia Pasifik, Neil Mumm pula berkata, banyak perniagaan kecil menyedari keperluan dalam mendigitalkan pembayaran, namun mereka kekurangan sumber dan pengetahuan untuk berbuat sedemikian. 

 

"Atas sebab ini, kami di Visa mencipta penyelesaian untuk menjadikan pembabitan peniaga lebih lancar, dan untuk membantu mereka menerima pembayaran kad Visa dengan mudah dan selamat," katanya.

 

Tambahnya, kerjasama dengan Razer akan membantu mempercepatkan lagi pendigitalan pembayaran di seluruh Malaysia, Singapura dan Filipina, seterusnya membolehkan peniaga menawarkan pengalaman pembayaran digital. - DagangNews.com