Rasionalisasi subsidi tidak menentu, CGS-CIMB jangka BNM ambil pendekatan 'tunggu dan lihat'  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rasionalisasi subsidi tidak menentu, CGS-CIMB jangka BNM ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ secara berhati-hati berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi rasionalisasi subsidi, kata CGS-CIMB Securities.

 

Susulan mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%, yang telah dikekalkan bagi kali keempat berturut-turut sejak Julai 2023, sejajar dengan ramalan firma penyelidikan tersebut.

 

Dalam perbincangan antara BNM dan pakar ekonomi serta penganalisis, tumpuan penting diberikan kepada kebimbangan mengenai perubahan yang akan berlaku dalam cukai dan subsidi, serta potensi kesan pelarasan ini terhadap ekonomi.

 

CGS-CIMB menyatakan bahawa setakat ini, terdapat tanda-tanda bahawa penggunaan mungkin akan terjejas secara agregat.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu berkata beberapa aspek yang menggalakkan seperti bantuan kewangan dan pemulihan elemen luaran seperti elektrik dan elektronik (E&E) boleh berfungsi sebagai mengurangkan kesan negatif tersebut.

 

“Secara seimbang, bagaimanapun, kami percaya masih tidak jelas sama ada faktor negatif dan positif boleh meneutralkan satu sama lain, menjadikan respons dasar BNM tidak menentu.

 

"Berikutan senario ini, kami berpendapat bahawa BNM mungkin akan menggunakan pendirian 'tunggu dan lihat', dan bukannya mengambil langkah pencegahan yang biasa dilakukannya.

 

"BNM mungkin menunggu pengumuman kerajaan dan menilai kesannya terhadap ekonomi sebelum memutuskan reaksi dasar, jika perlu," katanya dalam nota penyelidikan.

 

CGS-CIMB berkata, sebarang respons daripada BNM boleh berlaku secara nyata hanya pada separuh kedua 2024 setelah pelaksanaan pelarasan ketara pada cukai dan harga.

 

“Namun, andaian garis dasar kami ialah sebarang pelarasan berkemungkinan agak ‘neutral’ terhadap ekonomi, dan dengan itu kami mengekalkan pandangan kami bahawa OPR akan dikekalkan pada 3% bagi unjuran tahun ini,” tambahnya.

 

Pada Rabu, BNM mengekalkan pendirian konservatifnya terhadap inflasi bagi 2024 berikutan keadaan kos dan permintaan yang stabil selepas prestasi inflasi keseluruhan dan inflasi teras yang memuaskan pada 2023, sejajar dengan jangkaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus

 

Bagaimanapun, BNM berhati-hati memandangkan ia melihat hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan.

 

“Dengan menjangkakan potensi kejutan harga akibat pemotongan subsidi dan cukai baharu, kami menegaskan semula kedudukan kami bahawa inflasi dijangka meningkat secara beransur-ansur kepada 3.2% tahun ke tahun pada 2024, berbanding 2.5% pada 2023,” kata CGS-CIMB.  - DagangNews.com