Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dilancar di Malaysia pada 8 Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dilancar di Malaysia pada 8 Jun 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Disebabkan permintaan popular daripada peminat Raptor di seluruh negara, Ranger Raptor generasi baharu akan tersedia dalam pilihan enjin 2.0L Bi-Turbo Diesel, bermula 8 Jun 2023.

 

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) dalam kenyataan memaklumkan, Ranger Raptor generasi baharu dengan 2.0L Bi-Turbo Diesel menawarkan pilihan enjin tambahan untuk pasaran di Malaysia, seperti yang diinginkan pelanggan.

 

Katanya, Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu juga hadir dengan penampilan luar yang sasa dan bertenaga serta penggayaan ruang dalaman, teknologi bersepadu serta ciri keselamatan maju, selain kepada keupayaan dan komponen yang dipertingkat daripada inovasi tahap baru Ford.

 

"Sejajar dengan pelancarannya, tempahan pertama 300 unit Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu akan dilengkapi khas dengan sistem dashcam Kenwood DRV-A700W. Ia mempunyai kamera hadapan Wide-Quad HD (WQHD, 3.7MP) dan kamera belakang Full HD (FHD, 1080p) untuk rakaman dua saluran. 

 

"Ia dilengkapi dengan G-Sensor tiga paksi yang direka untuk mengesan perlanggaran. Sistem ini juga dilengkapi dengan pautan telefon pintar tanpa wayar yang terbina dalam untuk pengurusan mudah rakaman video dan tetapan dashcam. 

 

"Penerima GPS terbina dalam secara automatik merakam maklumat pemanduan dan penjejakan lokasi, manakala penapis polarisasi membolehkan gambar yang lebih hidup dan jelas," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair berkata, sejak pelancaran model Raptor dengan enjin V6 tahun lalu, Ranger Raptor generasi baharu menerima permintaan tinggi. 

 

Katanya, ini kerana ramai pelanggan di Malaysia telah meminta versi enjin yang lain. 

 

"Kami mengambil maklum tentang perkara itu, dan kini varian dengan enjin 2.0L Bi-Turbo Diesel yang telah terbukti turut ditawarkan sebagai pilihan untuk pencinta Raptor dan juga peminat trak off-road berkelajuan tinggi lainnya," katanya.

 

Mereka yang berminat untuk melihat dari dekat model Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dialu-alukan untuk hadir ke pelancaran rasminya, yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Jun 2023 di MRANTI Open Space.

 

Ranger Raptor generasi baharu dengan enjin 2.0L Bi-Turbo diesel ini juga akan menjelajah bersama Ford Experience Hub ke bahagian utara dan selatan di Semenanjung, sebagai tambahan kepada lokasi di Sabah dan Sarawak.

 

Menerusi Ford Experience Hub, pelanggan dan mereka yang berminat boleh mengalami sendiri Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dan kenderaan lain, selain mempelajari dengan lebih mendalam berkaitan pelbagai inisiatif bersama pelanggan Ford. - DagangNews.com