KUALA LUMPUR 9 Jun - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia melancarkan Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu yang menawarkan satu lagi pilihan enjin untuk para peminat Raptor di negara ini.
Kini terdapat varian enjin diesel 2.0 liter untuk Ranger Raptor generasi baharu selain varian enjin petrol 3.0 liter EcoBoost V6 yang sedia ada.
Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair berkata, sebagai trak 'off-road' berprestasi hasil buatan Asia Pasifik, permintaan untuk Ranger Raptor melebihi jangkaan.
"Respon terhadap Ranger Raptor generasi baharu amat baik sejak kami melancarkan varian V6.
"Berdasarkan maklum balas yang kami terima, kami tahu ramai pelanggan Malaysia menginginkan pilihan enjin dan enjin Diesel Bi-Turbo 2.0L adalah penambahan hebat untuk rangkaian kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Diperkenalkan pertama kali pada 2018 dalam model Ford Ranger Raptor generasi sebelumnya, enjin Diesel Bi-Turbo 2.0L menawarkan pilihan pemilikan lain untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan dan pengguna Malaysia.
Enjin yang telah diuji dan disahkan bukan sahaja membawa semula prestasi kuat yang diketahui dan disukai pelanggan Ford, malah ia juga memberikan kecekapan bahan api tidak dikompromi hasil penyelidikan dan pembangunan yang meluas.


Dipadankan dengan transmisi e-shifter automatik 10-kelajuan baharu, Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu memberikan prestasi sehingga 210 PS pada 3,750 rpm dan tork 500 Nm pada 1,750-2,000 rpm.
Varian 2.0L Bi-Turbo Diesel juga mempunyai pelbagai ciri untuk menawarkan penggunaan bahan api yang kompetitif sebanyak 8.2L/100 km.
Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dijual pada harga RM248,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM252,188 untuk Malaysia Timur, atas jalan tanpa insurans dan cukai jalan.


Warna yang tersedia termasuk Code Orange, tambahan kepada Absolute Black, Arctic White, Blue Lightning dan Conquer Grey.
Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dilengkapi dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km, yang mana dahulu.

Pelanggan juga boleh memilih untuk memanjangkan tempoh jaminan sehingga tujuh tahun melalui pakej jaminan PremiumCare.
Sesiapa yang berminat dengan Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu dialu-alukan untuk hadir ke pelancaran rasmi yang diadakan pada 9 hingga 11 Jun 2023 di MRANTI Park berhadapan Pavilion Bukit Jalil. - DagangNews.com








