KUALA LUMPUR 20 Mei - Rakuten Trade optimis terhadap prospek P.A. Resources Bhd didorong beberapa inisiatif baharu termasuk pembesaran kilang baharu yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak dua kali ganda dalam tempoh 12 hingga ke 18 bulan selepas selesai pemindahan hak milik tanah.
Katanya, fasa 1 pengembangan akan menambah kapasiti antara 2,000 hingga 5,000 tan metrik dengan fasa seterusnya meningkatkan kapasiti penyemperitan kumpulan kepada 7,000 hingga 10,000 tan metrik.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah menaik taraf talian fabrikasi sedia dan dijangka menghasilkan penjimatan kos serta mendapatkan balik pelaburannya dalam tempoh setahun setengah.
"Langkah strategik ini dijangka memacu pertumbuhan pendapatan berbilang tahun untuk kumpulan terutamanya perbincangan perniagaan yang produktif baru-baru ini bersama syarikat solar multinasional," katanya dalam atu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM32.4 juta bagi tempoh Sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24) dengan hasil sebanyak RM417.8 juta.
Pada tahun kewangan berakhir 31 Jun 2023 (FY23), kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM31.3 juta pada perolehan RM461.7 juta.
Bagaimanapun, angka itu lebih rendah daripada keputusan tahun penuhnya untuk FY22, apabila syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM43.5 juta daripada hasil RM411.3 juta.
Rakuten Trade berkata, bagi prospek jangka pendek, pendapatan kumpulan itu didorong oleh penyiapan pelan pengembangan kapasitinya serta semakan menaik dalam purata harga jualan (ASP) serta kejayaan pelancaran produk baharu.
Sejak itu, kumpulan itu telah meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 3,200 tan metrik sebulan sejak April 2024 berbanding antara 2,800 hingga 3,000 tan metrik sebulan.
"Daripada kenaikan harga Aluminium London Metal Exchange (LME) baru-baru ini pada April 2024 sebanyak 13% dari bulan ke bulan, kami menjangkakan semakan harga menaik menjelang Julai tahun ini (1QFY25) dan seterusnya.
"Sementara itu, kumpulan tu berjaya melancarkan produk baharu (terutamanya untuk kegunaan industri minyak sawit) yang dijangka memberikan margin yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com








