Rakuten Trade jangka Pappajack raih pendapatan bersih RM10 juta, RM11.3 juta bagi FY22 dan FY23 | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade jangka Pappajack raih pendapatan bersih RM10 juta, RM11.3 juta bagi FY22 dan FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Rakuten Trade Research menjangkakan Pappajack Berhad akan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM10 juta dan RM11.3 juta untuk FY22 dan FY23 selain pegangan tunai bersih sebanyak RM49.5 juta selepas penerbitan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pappajack membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ni dengan sasaran mengumpul modal sebanyak RM50.1 juta menerusi penerbitan IPO.
 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan RM19.22 juta untuk kegunaan kos awal pembukaan lima cawangan pajak gadai baharu dan ia dijangka beroperasi dalam tempoh antara tiga ke enam bulan.

 

"Sejumlah RM27.08 juta akan digunakan untuk perniagaan 20 cawangan sedia ada bagi membiayai pinjaman pajak gadai," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Pappajack membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini selepas memulakan perniagaan pajak gadai pada 2014 dengan menawarkan pinjaman mikro kepada golongan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan atau kurang mendapat perkhidmatan daripada institusi kewangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, cawangan pajak gadai Pappajack terletak di kawasan yang sangat strategik iaitu berhampiran kawasan perumahan, komesial dan memiliki jaringan pengankutan awam yang sangat baik seperti bas, LRT serta MRT.

 

"Perniagaan mereka dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan tertakluk di bawah Akta Pajak Gadai 1972.

 

"Pappajack merancang untuk meluaskan perniagaan mereka bagi jangka masa panjang dengan membuka beberapa cawangan baharu dan mengambil alih perniagaan pihak ketiga bagi mengukuhkan kedudukan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan sasaran 'beli' untuk saham Pappajack pada dengan harga sasaran (TP) RM0.39 berdasarkan kepada gandaan 1.4x PB kepada BVPS FY22F sebanyak 28sen. 

 

"Penilaiannya adalah premium  dan setara untuk syarikat kewangan bukan bank memandangkan model perniagaan pinjaman terjaminnya berbanding bank tradisional," katanya. - DagangNews.com