Rakan kerjasama Treasure Global, Abe Yus bekal 'Kari Puff' terlaris ke rangkaian kedai serbaneka terbesar dunia | DagangNews Skip to main content

Rakan kerjasama Treasure Global, Abe Yus bekal 'Kari Puff' terlaris ke rangkaian kedai serbaneka terbesar dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Penyedia rumusan teknologi inovatif, Treasure Global Inc mengumumkan Abe Yus Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada rakan kerjasama dalam kumpulan itu, akan mengembangkan karipap terlarisnya ke rangkaian kedai serbaneka terbesar dunia. 

 

Langkah strategik itu menjadi satu kayu ukur penting dalam mempelbagaikan saluran penawaran produk kumpulan di samping memperluaskan lagi edaran mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TGL, Sam Teo berkata, inisiatif itu merupakan tonggak penting bagi pihaknya dengan jangkauan pengedaran yang lebih besar untuk Abe Yus memperluaskan jenamanya ke kelompok yang lebih ramai, menerusi rangkaian kedai serbaneka terbesar di dunia. 

 

"Tanpa ragu, ia secara tidak langsung membuka saluran pendapatan baru, dan seterusnya mengukuhkan lagi jenama Abe Yus serta memperkuat prospek pendapatan masa depan TGL," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Fasa pertama akan memberi fokus kepada pembekalan “Kari Puff” terlarisnya ke 250 kedai dalam rantaian kedai serbaneka tersebut di Malaysia. 

 

Fasa-fasa berikutnya merangkumi tambahan lokasi kedai dan pengenalan kepada lebih banyak produk, yang secara tidak langsung menandakan perkembangan ketara dalam pasaran F&B dan seterusnya mengakses sumber pendapatan baru menerusi rangkaian meluas kedai serbaneka berkenaan.

 

Perniagaan kumpulan F&B Abe Yus merangkumi “Kari Puffs” terkenal yang dijual melalui ‘grab and go’ serta kiosk makanan jalanan Warung Abe Yus, Abe Yus Café, dan juga perkhidmatan penghantaran e-dagang B2C Abe Yus Marts.

 

Kini, rantaian berkenaan memiliki 12 cawangan yang beroperasi di seluruh Malaysia, dengan perancangan untuk membuka 35 cawangan lagi menjelang penghujung 2023 dan 300 cawangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Di samping itu, Abe Yus juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya ke pasaran Asia Tenggara pada masa hadapan. 

 

Pada tahun ini, TGL mengumumkan bahawa kumpulan itu telah memeterai perjanjian pelesenan dengan Abe Yus yang mana ia memberikan TGL hak eksklusif di seluruh dunia untuk mengeluarkan sub-lesen kepada pihak ketiga bagi menggunakan tanda dagangan Abe Yus dalam rantaian perniagaan makanan dan minuman (F&B). 

 

Ia sejajar dengan rancangan strategik kumpulan untuk muncul sebagai francaisor terkemuka dalam kalangan syarikat F&B di Asia Tenggara. - DagangNews.com