Raja Shahreen Raja Othman dilantik sebagai CEO Kumpulan BDB, Mohd Iskandar sebagai CFO | DagangNews Skip to main content

Raja Shahreen Raja Othman dilantik sebagai CEO Kumpulan BDB, Mohd Iskandar sebagai CFO

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Okt - Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad mengumumkan pelantikan Raja Shahreen Raja Othman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) dan memegang jawatan Pengarah Eksekutif syarikat berkuat kuasa mulai 1 November 2022.

 

Sementara itu, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli yang merupakan Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan akan ditetapkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) bagi syarikat berkuat kuasa mulai 31 Oktober 2022.

 

Menurut pemakluman di Bursa Malaysia hari ini, Lembaga Pengarah BDB telah meluluskan pelantikan dan penyusunan jawatan pengurusan kanannya itu pada 23 Oktober 2022.


 

Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli
Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli diumumkan sebagai CFO Kumpulan BDB

 


Raja Shahreen, 55, pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan)(MBI) dari 1 Disember 2014 hingga 30 November 2019.

 

Dalam tempoh tersebut, beliau dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 31 Mac 2015 sebelum dilantik semula sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif pada 21 Jun 2018 dan meletakkan jawatan pada 17 Januari 2020.

 

Selain itu, Raja Shahreen yang merupakan lulusan akauntan dari La Trobe University, Melbourne Australia juga pernah berkhidmat di Ernst & Young pada 1989 sebelum menyandang jawatan sebagai Pengarah pada 2000 dan terus berkhidmat sehingga 2004.

 

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Pos Malaysia Berhad dari 1 Mac 2004 hingga 31 Ogos 2007 dan meneruskan kerjayanya sebagai
Pengurus Besar merangkap Ketua Pegawai Kewangan/Setiausaha syarikat di Syarikat Pemasaran Minyak Oman SAOG dari 1 November 2007 hingga 30 Jun 2013.

 

Dari 7 November 2013 hingga 30 November 2014, YM Raja Shahreen berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Duta Klasik Sdn. Bhd. - DagangNews.com