KUALA LUMPUR 27 Julai - QL Resources Bhd. kini berdepan cabaran tekanan inflasi selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 ekoran kenaikan kos input memberi tekanan kepada marginnya terutama segmen penternakan.
Bagaimanapun Kenanga Research berkata, operasi kumpulan merentasi semua segmen termasuk Family Mart mula kembali normal memandangkan ekonomi beralih kepada fasa penghujung pandemik.
"Dengan mengambil kira sebahagian besar tekanan kos ini, kami menyemak turun unjuran hasilnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 6% dan 1%.
"Sejajar dengan semakan ini, kami mengurangkan harga sasarannya kepada RM5.35 daripada RM5.45 sesaham sebelum ini, dengan mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap QL Resources," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam taklimat dengan kumpulan baru-baru ini, Kenanga Research berkata, QL Resources merancang untuk menambah 60 lagi cawangan francais Family Mart pada FY23, yang mana ketika ini ia mempunyai 303 cawangan.
Pembukaan dapur berpusat kedua pada Jun 2022 membuka jalan kepada 300 cawangan baharu dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, permintaan bagi produk marinnya semakin bertambah baik manakala kenaikan harga jualan purata (ASP) kira-kira 10% berbanding FY22, dapat membantu mengimbangi bayaran gaji yang lebih tinggi.
Namun, menurutnya, kumpulan menjangkakan perniagaan ternakannya akan pulih pada FY23 dengan adanya bantuan subsidi kerajaan.
Ketika ini, QL Resources mampu sekurang-kurangnya pulang modal dengan ASP 45 sen bagi sebiji telur, setanding dengan purata kos pengeluarannya.
"Kumpulan menjangkakan jumlah pengeluarannya (di Malaysia, Indonesia dan Vietnam) akan meningkat kepada 6.8 juta telur sehari menjelang akhir FY23 berbanding 6.3 juta ketika ini.
"Ini memandangkan kapasiti pengeluaran di Vietnam dijangka mencecah 1.8 juta telur sehari pada akhir FY23, setahun lebih awal daripada yang dirancang sebelum ini," jelasnya.
Namun, katanya, kumpulan berhati-hati terhadap prospek bagi segmen perladangan kerana pengeluran tandan buah segar dijangka terjejas ekoran hujan lebat dan juga harga minyak sawit mentah yang lebih lemah.
Sebaliknya, Boilermech mungkin melihat margin yang lebih baik disebabkan skala ekonomi. Tiada perubahan pada rancangannya untuk melupuskan perniagaan perladangan huluannya (selaras dengan strategi ESG) selain mengekalkan Boilermech.
"Bagaimanapun, kumpulan masih belum mengenal pasti bakal pembeli untuk aset tersebut," katanya.
Setakat 10.26 pagi ini, harga saham QL Resources susut 1 sen atau 0.19% kepada RM5.22 dengan 98,800 saham diniagakan. - DagangNews.com








