Pusat Pengalaman 5G MRANTI galak perusahaan, industri percepat inovasi baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat Pengalaman 5G MRANTI galak perusahaan, industri percepat inovasi baharu

(Empat dari kiri) Chang Lih Kang dengan syarikat yang mengambil bahagian untuk mempamerkan bukti konsep mereka di Pusat Pengalaman 5G MRANTI
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pusat Pengalaman 5G Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) akan membolehkan inovasi baharu berjalan pantas.

 

Pusat tersebut menawarkan prototaip, ujian, demo dan kawasan makmal dengan kelajuan sehingga 1GBps dalam aplikasi perindustrian dan kes penggunaan mengikut sektor menegak untuk dipamerkan, yang juga boleh digunakan oleh universiti, penyelidik dan pakar industri sebagai platform untuk membincangkan perkara dalam penyelidikan gunaan 5G.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata MRANTI akan menjadi nukleus untuk pembangunan dan penggunaan aplikasi kemasyarakatan dan sektoral transformatif menggunakan teknologi generasi akan datang.

 

“Direka bentuk untuk prototaip, ujian dan pembangunan, Pusat Pengalaman 5G MRANTI akan melengkapkan semakin banyak kemudahan inovasi 5G di Malaysia,” ujarnya dalam majlis pelancaran di Kuala Lumpur hari ini.

 

Menurut penyelidikan industri, penggunaan 5G dijangka memberikan potensi peningkatan Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) sebanyak kira-kira RM122 bilion dan 750,000 pekerjaan baharu menjelang tahun 2030.

 

Memandangkan Pusat Pengalaman 5G MRANTI adalah inisiatif yang dibiayai oleh kerajaan, Chang menyeru lebih ramai pengguna awal untuk memacu pertumbuhan penyelesaian Industri 4.0 dengan penggunaan teknologi 5G.

 

Walaupun rangkaian 5G negara dijangka mencapai liputan 80% menjelang akhir 2023, Persatuan Sistem Global untuk Komunikasi Mudah Alih (GSMA) mendedahkan bahawa kadar penggunaannya di Malaysia kini masih serendah 1% walaupun mempunyai hampir 50% liputan populasi 5G.

 

Pemerhati industri berpendapat bahawa penunjuk utama untuk kejayaan 5G mesti termasuk inovasi perusahaan dan kes penggunaan yang menyediakan aplikasi menarik untuk memperhebatkan penggunaan industri.

 

Semasa pelancaran, Chang membincangkan lima aspek untuk memacu penggunaan 5G yang dikenal pasti baru-baru ini di meja bulat industri 5G anjuran MRANTI, iaitu infrastruktur dan kemudahan, pembangunan ekosistem, akses pasaran, pembangunan bakat dan sokongan kerajaan.

 

“Secara keseluruhannya, inisiatif yang diumumkan hari ini di peringkat nasional untuk inovasi 5G menangani kebimbangan utama dan menetapkan peringkat untuk meningkatkan kelebihan daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan langsung dan tidak langsung,” tambah Chang.

 

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan lima bukti konsep (PoC) yang melibatkan pengendali rangkaian, penyedia penyelesaian IoT dan pembangun teknologi merangkumi penyelesaian untuk penjagaan kesihatan, pertanian, pembangunan bandar pintar, teknologi dron dan pengawasan, antara lain untuk memberi manfaat kepada komuniti B40 serta industri.

 

MRANTI juga mempunyai rancangan dalam perancangan untuk membina makmal kediaman kereta autonomi sepanjang 12 kilometer di kawasan itu, serta pusat kecemerlangan dron seluas 5 hektar untuk meningkatkan pembangunan teknologi Industri 4.0. -DagangNews.com