KUALA LUMPUR 15 Mei - Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) melancarkan Pusat 3S Proton EON di Banting, Selangor melibatkan pelaburan sebanyak RM6 juta.
Kata anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad itu, pusat 3S di Banting itu asalnya bilik pameran yang beroperasi sejak tahun 1998, namun telah dinaik taraf sebagai pusat jualan, perkhidmatan selepas jualan dan penggantian alat ganti.
Pembukaan pusat 3S itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial yang juga Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM Berhad.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Naib Presiden Jualan dan Perkhidmatan Selepas Jualan Proton Edar Sdn. Bhd., Edmund Lim serta pengurusan EON, Proton dan DRB-HICOM.

Dalam ucapannya, Akkbar berkata, pembukaan Pusat 3S Proton EON Banting menunjukkan fokus berterusan EON dalam meningkatkan perkhidmatan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.
"Ini selaras dengan kedudukan kami sebagai pengedar kereta pelbagai jenama terbesar di Malaysia.
“Bilik pameran yang diperbaharui akan membolehkan kami meningkatkan pengalaman pelanggan, lokasi strategiknya pula akan menjadikannya sangat mudah diakses penduduk Banting dan sekitar sama ada untuk membeli kereta atau perkhidmatan selepas jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bilik pameran yang diperbaharui merangkumi kawasan binaan seluas 18,775 kaki persegi yang mampu mempamerkan lapan unit kenderaan Proton.

Sebagai pelengkap kepada bilik pameran, terdapat sebuah pusat servis dengan keluasan 12,347 kaki persegi, dilengkapi dengan 10 ruang servis yang dilengkapi dengan teknologi terkini untuk perkhidmatan yang cekap dan boleh dipercayai untuk pelbagai model Proton.
Pelanggan juga akan mendapat manfaat daripada usaha digitalisasi EON dengan pengenalan platform Pengurusan Tenaga Kerja ("WFM") yang membolehkan pelanggan membuat temujanji untuk perkhidmatan kereta secara dalam talian dan menikmati kemas kini perkhidmatan secara langsung.
Mereka yang mencari kereta baharu juga boleh membuat tempahan secara dalam talian melalui laman web EON.
Pusat perkhidmatan tidak beroperasi pada hari Ahad dan cuti umum.- DagangNews.com








