KUALA LUMPUR 12 Jun - Kenanga Research mengunjurkan purata kadar pengangguran kekal pada paras 3.5% pada tahun ini.
Unjuran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan pekerjaan yang mampan selain keksongan jawatan aktif yang lebih tinggi.
Firma itu berkata, sehingga 19 Mei, kekosongan jawatan di MyFutureJobs berjumlah 113,120 berbanding April lalu sebanyak 20,853.
"Kami yakin permintaan domestik yang berdaya tahan sebahagiannya akan mengurangkan kelemahan dalam sektor luar dalam persekitaran kesan kelembapan pertumbuhan global.
"Selain itu, kami percaya pemulihan berterusan dalam sektor perkhidmatan dalam persekitaran peningkatan secara beransur-ansur dalam aktiviti pelancongan akan menyokong prospek pertumbuhannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, berkata jumlah pengangguran pada April menyusut sebanyak 0.3% kepada 586,900 orang berbanding 588,700 orang bulan lepas dengan kadar pengangguran berada pada 3.5%, ia tidak berubah dari Mac tahun ini.
“Jumlah tenaga kerja mencatatkan pertambahan sebanyak 0.2% kepada 16.84 juta orang berbanding 16.81 juta pada Mac,” katanya.
Sementara itu, firma itu berkata kadar penyertaan tenaga kerja meningkat 0.1 mata peratusan kepada 70% (Mac 2023: 69.9%), memberi petunjuk bahawa lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, bilangan orang yang bekerja pada April 2023 meningkat 0.2% kepada 16.25 juta orang, mencatatkan rekod tertinggi.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2023 pada 4.7%, memandangkan keadaan pasaran tenaga kerja yang stabil akan terus menyokong pertumbuhan dalam permintaan domestik,” katanya. - DagangNews.com








