KUALA LUMPUR 28 Feb - Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia pada Januari 2023 dengan sumbangan 32.4%, diikuti oleh Johor (19.3%), Selangor (16.6%), Sarawak (8.4%) dan Kuala Lumpur (4.6%), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport pada bulan lalu meningkat sebanyak RM1.8 bilion atau 1.6% berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Katanya, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM1.9 bilion), Johor (RM1.6 bilion), Labuan (RM943.1 juta), Sarawak (RM909.7 juta), Kuala Lumpur (RM797.1 juta), Negeri Sembilan (RM306.7 juta), Kelantan (RM7.7 juta) dan Perlis (RM1.6 juta).
"Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Selangor (-RM2.4 bilion), Pahang (-RM661 juta), Sabah (-RM650.8 juta), Perak (-RM587.0 juta), Kedah (-RM156.8 juta), Melaka (-RM104.9 juta) dan Terengganu (-RM64.4 juta)," katanya.
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, import pada Januari 2023 juga meningkat RM2.2 bilion atau 2.3% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan tersebut dipacu oleh import yang lebih tinggi kebanyakan negeri iaitu Johor (RM2.2 bilion), Melaka (RM1.4 bilion), Kuala Lumpur (RM550.5 juta), Terengganu (RM349.7 juta), Negeri Sembilan (RM348.8 juta), Sabah (RM282 juta), Labuan (RM130.2 juta), Sarawak (RM95.2 juta) dan Perlis (RM18.5 juta).
"Walau bagaimanapun, import menyusut di Pulau Pinang (-RM2.2 bilion), Selangor (-RM543.2 juta), Perak (-RM287.2 juta), Kedah (-RM258.0 juta), Pahang (-RM87 juta) dan Kelantan (-RM36.2 juta)," katanya.

Sementara itu bagi import, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 26.3%, diikuti oleh Pulau Pinang (21.5%), Johor (20.7%), Kuala Lumpur (7.4%) dan Kedah (6.1%). - DagangNews.com








