PublicInvestment unjur pendapatan Mega First kekal berdaya tahan berdasarkan aliran tunai stabil daripada perniagaan RE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvestment unjur pendapatan Mega First kekal berdaya tahan berdasarkan aliran tunai stabil daripada perniagaan RE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pendapatan Mega First Corporation Berhad dijangka terus berdaya tahan pada tahun ini berdasarkan kunci kira-kira yang kukuh dan aliran tunai yang stabil daripada perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Public Investment Bank (PublicInvestment) berkata, kumpulan itu juga sedang meneroka peluang dalam beberapa projek RE di rantau ini dan ia boleh menjadi pemangkin penarafan semula untuk kumpulan itu.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, bahagian pembungkusan dijangka menghadapi masalah daripada inventori rantaian bekalan yang tinggi dan permintaan penggunaan yang perlahan, mengakibatkan persaingan harga yang semakin sengit.

 

"Kumpulan juga menghadapi tekanan kos yang semakin tinggi terhadap peningkatan kos buruh dan elektrik.

 

"Dari sudut positif, kos bahan membentuk kira-kira 50-60% daripada jumlah kos pengeluaran, telah mengalami pembetulan lebih daripada 20%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perniagaan oleokimia milik kerjasama (JV) kumpulan itu dijangka kekal rugi pada suku kedua berikutan harga produk minyak sawit yang lemah semasa, iaitu minyak sawit mentah (MSM), stearin sawit dan minyak isirung sawit mentah (CPKO).

 

Selain itu, kumpulan itu juga menghadapi beberapa isu kebolehpercayaan sumber manusia dan pengeluaran, yang menghalang mereka daripada meningkatkan kecekapan pengeluaran dan penggunaan kapasiti.

 

"Bagaimanapun, aliran tunai mereka kekal psoitif," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.75 sesaham. - DagangNews.com