Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengulangi saranan 'neutral' ke atas CIMB Group Holdings Bhd. memandangkan kenaikan terhad pada harga sasaran, RM5.50 sesaham.
Semalam, kumpulan mengumumkan pelupusan lagi 24.99% dan 25% pegangannya masing-masing dalam CGS-CIMB Securities International Pte Ltd (CSI) dan CGS-CIMB Holdings Sdn Bhd (CCH) kepada China Galaxy Securities (CGS).
CSI dan CCH ialah syarikat induk usaha sama pembrokeran saham (JV) CIMB dengan CGS, dikenali sebagai CGS-CIMB Securities.
Dengan melengkapkan penjualan pegangan ini, kepentingan CIMB dalam CSI dan CCH masing-masing akan berkurangan daripada 50% kepada 25.01% dan 25%, manakala pegangan China Galaxy International (CGI) pula masing-masing meningkat kepada 74.99% dan 75%.
"Walaupun telah didedahkan bahawa CGI mengambil langkah untuk pembelian aset yang dimasukkan dalam perjanjian JV itu, tetapi kami berpendapat, ia adalah masuk akal dari sudut pandangan CIMB kerana mentakrifkan semula matlamat kewangannya, disokong inisiatif F23+," jelas penganalisisnya, Ching Weng Jin dalam nota kajian hari ini.
Menurutnya, ini termasuklah membentuk semula portfolio (mempercepatkan bidang pertumbuhan yang menguntungkan dan memulihkan semula perniagaan) dan melaksanakan pelaburan tertumpu.
"Berkemungkinan hanya menyebabkan kerugian kecil kepada pendapatan (kurang daripada 1%), kami mengekalkan anggaran pendapatan tidak berubah.
"Tetapi, kami kekal optimis dengan prospek jangka panjang CIMB, yang mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam operasi teras," jelasnya.
Setakat 9.57 pagi ini, saham CIMB susut 3 sen atau 0.57% kepada RM5.27 dengan 1.54 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








