PublicInvest tetapkan nilai saksama saham Keyfield RM1.19 lebih tinggi berbanding harga IPO | DagangNews Skip to main content

PublicInvest tetapkan nilai saksama saham Keyfield RM1.19 lebih tinggi berbanding harga IPO

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 April - Keyfield International Bhd menerima penarafan yang baik daripada PublicInvest Research dengan memperoleh nilai saksama RM2.09 sesaham, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 90 sen sesaham.

 

PublicInvest berkata, Keyfield bersedia mengukuhkan kedudukan dalam pasaran dengan menambah lagi bilangan kapal yang kini berjumlah 11 buah.

 

Syarikat itu juga bakal mencatatkan petumbuhan dengan mempelbagaikan lagi tawaran perkhidmatan di samping sentiasa meningkatkan keupayaan kapal secara berterusan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Keyfield juga merancang meluaskan tawaran perkhidmatannya kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan kontraktor penyusunan petroleum (PAC), sambil terus meningkatkan keupayaan kapalnya untuk sejajar dengan keperluan industri dan matlamat kemampanan.

 

"Kami memperoleh nilai saksama RM2.09 berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan 15 kali ganda kepada unjuran pendapatan sesaham tahun kewangan 2024 sebanyak 13.9 sen. 

 

"IPO dijangka mengumpul RM188.1 juta daripada terbitan 209.0 juta saham baru," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Permohonan untuk IPO Keyfield akan ditutup pada 3 April 2024 dan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia dijadualkan pada 22 April 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield International dijangka jana RM188.06 juta daripada penyenaraian IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

key
 Majlis pelancaran prospektus IPO Keyfield di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

 

PublicInvest berkata, antara kekuatan daya saing Keyfield adalah kedudukannya sebagai pengendali kapal berlesen Petronas dari Malaysia, pengkhususan dalam kemudahan penginapan luar pesisir dan memiliki armada kapal dengan kapasiti serta ciri penginapan yang berbeza.

 

Turut disenaraikan sebagai daya saing Keyfield ialah meiliki sebuah kapal penginapan yang agak baru dan serba lengkap; penggajian anak kapal secara kontrak; akses kepada rangkaian pemilik kapal dan pasukan pengurusan yang berpengalaman dan berdedikasi.

 

Keyfield melalui anak syarikatnya terlibat dalam penyewaan kapal penginapan miliknya dan juga pihak ketiga sambil menyediakan pelbagai perkhidmatan atas kapal termasuk penginapan, sajian makanan, pengemasan, dobi dan sokongan perubatan.

 

Sehingga akhir Februari 2024, kumpulan itu memiliki 11 kapal penginapan di mana lapan daripadanya adalah tongkang kerja penginapan (AWB), dua adalah kapal penginapan yang lebih kecil dan satu adalah bot kerja penginapan (WB).

 

“Kumpulan itu menyewa kapal penginapan untuk industri minyak & gas (O&G), memberi perkhidmatan kepada pelanggan seperti Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), kontraktor O&G serta pemilik kapal sokongan luar pesisir,” kata PublicInvest.

 

Pemacu utama perniagaan Keyfield termasuk pertumbuhan jangka panjang dalam bilangan pelantar minyak luar pesisir; permintaan berterusan untuk AWB yang lebih baru dan maju dan dasar kerajaan yang berfaedah. - DagangNews.com