KUALA LUMPUR 22 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) positif terhadap prospek Uzma Berhad, disokong oleh anggaran buku pesanan kini kukuh pada RM2.9 bilion.
Ini adalah susulan penerimaan dua kontrak bernilai RM450 juta dengan tempoh tiga tahun daripada Petrons Carigali Sdn Bhd untuk menyediakan kerja ganti hidraulik dan operasi pasang dan pengabaian.
Menurut firma penyelidikan itu, kontrak baharu itu merupakan kemenangan terbesar kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) yang mempamerkan keupayaan dan kepakaran Uzma dalam perkhidmatan telaga untuk projek brownfield.
“Memandangkan kontrak dijamin pada penghujung tahun kewangan, kami tidak mengubah unjuran pendapatan kami dengan mengandaikan sumbangan hasil hanya akan bermula dengan lebih ketara dari FY24 dan seterusnya, yang sebahagiannya telah kami ambil kira di bawah andaian penambahan semula,” katanya dalam nota hari ini.
Termasuk kontrak baru-baru ini, firma itu menganggarkan nilai kontrak diperoleh daripada Petronas Carigali kini telah mencecah RM1 bilion untuk FY23 yang menunjukkan keupayaan dan kepakaran Uzma dalam perkhidmatan telaga untuk kedua-dua aktiviti produktiviti dan penyahtauliahan.
BACA: Uzma raih kontrak Petronas Carigali dianggarkan bernilai RM450 juta
“Disebabkan nilai kontrak yang besar, kami percaya ini meliputi sejumlah besar 103 telaga yang dikenal pasti dalam Prospek Aktiviti Petronas.
“Uzma menganggarkan kira-kira RM50 hingga 60 juta perbelanjaan modal (capex) diperlukan dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk melaksanakan kontrak, yang mana ia tidak mungkin mempunyai sebarang masalah pembiayaan,” tambahnya.
Secara berasingan, kumpulan itu juga menerima tawaran pembiayaan berjumlah RM225 juta untuk projek Large Solar Scale 4 (LSS4) daripada Affin Islamic dan EXIM Bank baru-baru ini.
Walaupun Uzma turut mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% daripada modal saham sedia ada untuk membiayai projek, menurut RHB Investment, ini akan menyediakan beberapa penampan untuk projek jika terdapat variasi kos selanjutnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.10 sesaham berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) 10 kali pada 2024, walaupun tertakluk kepada pencairan 10% selepas pelaksanaan penempatan persendirian selesai.
Pada waktu penulisan, saham Uzma menokok 2 sen atau 3.2% kepada 64 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM225.3 juta. - DagangNews.com








