KUALA LUMPUR 28 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) semakin optimis bahawa ECA Integrated Solutions Berhad boleh melepasi unjuran pendapatan firma untuk tahun kewangan 2023 (FY23).
Firma penyelidikan itu berkata sedemikian berikutan taklimat pasca keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dengan ECA Integrated, di mana pengurusan kumpulan itu menjadi lebih positif selepas memperoleh tempahan baharu dan berulang untuk kedua-dua perniagaan sistem pengeluaran bersepadu (IPS) dan peralatan automasi kendiri (ATE).
Jelasnya, pengurusan kumpulan itu berkata nisbah tempahan-kepada-bil pada masa ini berada pada 1.5 kali (dikira terhadap 2QFY23) dan buku pesanan akan bertahan selama tiga hingga enam bulan lagi.
Menurut firma itu, kira-kira 50% daripada buku pesanan diperoleh daripada tag paparan digital di bawah segmen IPS manakala 50% selebihnya datang daripada Insulated-Gate Bipolar Transistors (IGBT) dan EL2D, produk gerudi laser di bawah segmen ATE.
“Secara tuntas, IPS akan terus menjadi pemacu pertumbuhan utama kumpulan sehingga FY24, menyumbang 60% hingga 70% daripada jualannya, sementara pengurusan juga telah menetapkan sasarannya untuk pertumbuhan 20% hingga 30% lagi untuk FY24,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas lanjut, firma itu berkata bagi memenuhi buku pesanan IPS yang besar, kumpulan itu akan memindahkan semua mesin kawalan berangka komputer (CNC) ke kilang baharu berkeluasan 11,000 kaki persegi untuk mengosongkan ruang lantai pengeluaran IPS sedia ada, yang berpotensi meningkat sehingga 36 stesen berbanding sembilan stesen pada masa ini.
Sementara itu, firma itu menjangkakan segmen ATE mendapat lebih banyak tempahan berulang disandarkan pada peranti IGBT berkaitan kenderaan kereta (EV) dan bakal pelanggan baharu untuk memenuhi projek EV mereka, di mana platformnya boleh memenuhi kedua-dua IGBT silikon dan yang berasaskan silikon karbida (SiC).
Di samping itu, PublicInvest berpendapat bahawa ECA Integrated mempunyai lebih banyak peluang pada masa akan datang memandangkan kumpulan itu masih membida untuk tempahan berulang lain untuk pengeluaran tag paparan digital yang bernilai sekurang-kurangnya RM6 hingga 7 juta.
“Pengurusan percaya ia mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya di China kerana prestasi kumpulan jauh lebih baik dan juga merupakan perintis dalam reka bentuk kilang pengeluaran ini.
“Walaupun berdepan persaingan, pengurusan percaya ia mempunyai kelebihan dari segi kerumitan projek,” ujarnya sambil menambah bahawa 50% hingga 70% daripada tempahan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) biasanya dilakukan oleh automasi dalaman pelanggan manakala selebihnya akan dibuka untuk tender.
PublicInvest mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham ECA Integrated kekal pada 84.5 sen dengan modal pasaran bernilai RM488 juta. - DagangNews.com








