KUALA LUMPUR 19 Jun - PublicInvest Research menaik taraf sektor penjagaan kesihatan kepada ‘overweight’ selepas pendapatan bagi sektor itu kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23).
Menurut firma penyelidikan itu, hospital mengalami peningkatan dalam kedua-dua jumlah pesakit dalam dan kadar penghunian katil (BOR) susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa, didorong oleh peningkatan bilangan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan perubatan bukan akut dan pemeriksaan berkala.
Firma itu berkata masih terdapat ruang untuk pertumbuhan dalam sektor tersebut memandangkan demografi menggalakkan, seperti penduduk yang semakin tua dan golongan berpendapatan sederhana semakin meningkat, di samping pertumbuhan trend pelancongan penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menjangkakan pelancongan kesihatan menjana pendapatan lebih RM1.7 bilion sebaik sahaja perkhidmatan penjagaan kesihatan pulih sepenuhnya apabila pelancong perubatan mula kembali ke negara ini,” kata firma itu dalam nota hari ini.
Tambahnya, pendapatan daripada segmen itu telah pulih kepada RM1.3 bilion pada 2022 daripada RM555 juta tahun sebelumnya.
Selain itu, MHTC sedang berusaha membangunkan program hospital pelancongan perubatan utama bagi mengiktiraf hospital swasta terpilih agar setanding dengan hospital antarabangsa terkenal, yang akan memanfaatkan IHH dan KPJ.
Manakala, permintaan untuk produk berkaitan COVID dijangka kembali normal dalam beberapa suku akan datang, namun hospital dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk pembedahan dan prosedur elektif yang ditangguhkan semasa wabak itu.
Susulan KPJ Healhcare Berhad dan IHH Healthcare Berhad mencatat prestasi berdaya tahan pada 1QFY23, PublicInvest telah meletakkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) masing-masing pada RM1.35 dan RM7.63 sesaham, didorong oleh peningkatan jumlah pesakit dalam dan BOR.
Manakala Apex Healthcare Berhad dikekalkan saranan ‘neutral’ dengan TP RM2.52 disebabkan firma itu bimbang dengan permintaan perlahan untuk produk penyakit pernafasannya.
Mengulas mengenai penambahan katil pada tahun 2023, firma itu berkata hospital meletakkan kedudukan mereka secara strategik untuk meneruskan pengembangan melalui penambahan katil, sejajar dengan trajektori peningkatan jumlah pesakit dan BOR.
“KPJ menjangkakan menambah sejumlah 300 katil baharu pada FY23, di mana 230 katil dijangka beroperasi. IHH pula telah mencadangkan pelan pertambahan 2,000 katil dalam tempoh tiga tahun akan datang merentasi operasi utamanya di Malaysia (sekitar 600 katil) dan India (kira-kira 1,500 katil), diterjemahkan kepada pertumbuhan 15 hingga 50% dalam kapasiti semasa kumpulan,” tambahnya. -DagangNews.com








