KUALA LUMPUR 10 Nov - Public Investment Bank Research (PublicInvest) kekal optimis terhadap prospek Mi Technovation Berhad disokong sumbangan kukuh daripada unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) dan unit perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU).
“Walaupun keputusan lebih lemah daripada jangkaan, anggaran [pendapatan] dikekalkan kerana kami menjangkakan peningkatan kukuh pada suku akhir berikutan sumbangan yang lebih kukuh daripada kedua-dua SEBU dan SSBU,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Terdahulu, pendapatan kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) adalah sebanyak RM30.1 juta, susut 5.3% tahun ke tahun, yang hanya merangkumi unjuran tahun penuh PublicInvest dan konsensus masing-masing pada 63% dan 53%.
Dari segi positif, firma penyelidikan itu berkata keputusan teras suku ketiga kumpulan itu meningkat sebanyak 69% suku ke suku, pertumbuhan suku kedua berturut-turut.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM2.57 sesaham berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY24 sebanyak 30 kali.
Mengulas mengenai prospek SEBU dan SSBU, firma itu berkata pengendali ujian akhir ‘Si Series’ untuk menguji penderia optik dan cip automotif, yang direka dan dikeluarkan secara tempatan di kilang Mi Technovation di Suzhoun, telah menerima permintaan yang kukuh dan kumpulan itu yakin kilang Suzhou akan pulih tahun ini.
Sementara itu, peralatan ikatan ‘Ai Series’, iaitu Laser-Assisted Bonding (LAB), Laser Compression Bonding (LCB) dan Laser Pin Bonder, yang berada di bawah operasi di kilang Gyeonggi, Korea, semakin menarik perhatian, didorong oleh ledakan dalam segmen pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), memori dan kecerdasan buatan (AI).
“Sementara itu, kumpulan itu menjangkakan permintaan lebih kukuh untuk unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU), dengan pelancaran produk baharu daripada pelanggan utama dalam bidang mobiliti dan boleh dipakai, automotif dan AI,” tambahnya.
Firma itu berkata kilang kumpulan tersebut di Ningbo kini sedang menjalani proses kelayakan pengeluaran berskala besar.
Di samping itu, bagi memanfaatkan momentum kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui, SSBU secara rasminya telah melancarkan pelaburannya di Hangzhou untuk pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta kemudahan pembuatan baharu untuk modul kuasa dan peranti.
Setakat pukul 11:51 pagi ini, saham Mi Technovation turun 2 sen atau 1.1% kepad RM1.79 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.6 bilion. Setakat tahun ini, saham kumpulan itu telah merosot 14%. - DagangNews.com








