PRU15: Corak undi Melayu pelbagai tetapi dikuasai sentimen anti-DAP | DagangNews Skip to main content

PRU15: Corak undi Melayu pelbagai tetapi dikuasai sentimen anti-DAP

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kaji selidik Iman Research mendapati corak pengundian orang Melayu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah ‘paling pelbagai’, tetapi dikuasai sentimen anti-DAP.

 

Badan pemikir tersebut menekankan sebelum pilihan raya, terdapat sentimen lazim bahawa ‘hak Melayu semakin terhakis dan Islam diancam oleh orang bukan Islam’ – yang membawa kepada situasi di mana banyak parti politik berlatarkan etnik berjuang untuk demografi yang sama iaitu orang Melayu.

 

“Ini menyebabkan peningkatan dalam kempen berdasarkan persamaan etnik dan agama di mana setiap parti politik cuba mengatasi yang lain. Segmen pengundian Melayu dianggarkan sekitar 40% daripada jumlah pengundian iaitu jumlah yang penting,” seperti yang dilaporkan di dalam Analisis Sentimen Pilihan Raya di dalam PRU15.

 

 

Kajian itu juga menyatakan terdapat dua faktor utama di dalam fikiran kumpulan majoriti ini: “punca pendapatan mereka dan kedudukan orang Melayu”. Ini menyebabkan mereka untuk memilih wakil melalui proses dua peringkat.

 

“Pertama, mereka melihat hubung kait punca pendapatan dan rasuah di mana mereka mahu pemimpin yang bersih dan tidak terlibat dengan rasuah. Kedua, mereka mencari pemimpin yang akan melindungi kedudukan Melayu dan menjaganya,” kata Iman Research.

 

Kajian itu juga menunjukkan bahawa apabila naratif Melayu-Islam menjadi tema utama pilihan raya, kempen yang dilakukan adalah cenderung untuk memberi tumpuan kepada masyarakat untuk menjaga kepentingannya sendiri dan bukannya sebarang pertembungan ideologi. Dalam hal ini, PH dilihat tidak memenuhi kriteria ini.

 

bendera malaysia

 

“Kempen kedua-kedua parti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memaparkan Barisan Nasional/UMNO sebagai korup dan pengundi Melayu sudah tentu cenderung kepada gabungan yang memenuhi dua kriteria yang disebutkan di atas – PN,” katanya.

 

Iman mengemukakan tiga perkara utama yang mengancam orang Melayu sebelum pilihan raya: andaian diancam DAP, liberalisme dan kesan polarisasi perbezaan pendapat terhadap pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipertikai oleh golongan konservatif.

 

datuk seri anwar ibrahim

 

Kajian tersebut juga menekankan kebimbangan responden di kawasan bukan bandar terhadap parti bukan Islam yang menang dengan mudah di kawasan bandar, yang merujuk kepada DAP.

 

“Kerisauan kekalahan kepada parti bukan Islam ternyata jelas dalam kalangan responden Melayu-Islam yang ditemu bual. 

 

“Walau bagaimanapun, terdapat responden Melayu-Islam yang mengabaikan taktik bertujuan menakut-nakutkan dengan menggambarkan kemenangan bukan Islam dalam pilihan raya akan menjejaskan majoriti penduduk Melayu-Islam, taktik yang sering digunakan oleh kumpulan Melayu-Islam untuk menyemai kebencian terhadap rakyat Malaysia yang lain,” katanya.

 

perikatan nasional

 

Iman Research fokus pada bidang perlindungan keselamatan, pembinaan keamanan dan pembangunan yang mampan, dengan pakar dalam sektor mencegah dan menentang ekstremisme ganas, isu etnik dan agama, dasar sosial dan daya tahan masyarakat.

 

Badan pemikir itu menjalankan penyelidikan terkini melalui laporan berita dan wawancara di seluruh negara sebelum dan semasa tempoh berkempen PRU15.

 

Pilihan raya umum lepas menyaksikan keputusan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana tiada mana-mana parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

 

Lima hari selepas pilihan raya, Malaysia akhirnya membentuk kerajaan selepas Yang di-Pertuan Agong memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai kerajaan campuran dengan BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah. - DagangNews.com