Proton X50 2024 berjaya dijual melebihi 2,500 buah pada Julai 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton X50 2024 berjaya dijual melebihi 2,500 buah pada Julai 2024

Proton X50 2024 dilancarkan pada Jun 2024. -Gambar Proton
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Proton X50 2024 vesi dikemas kini yang dilancarkan dua bulan lalu berjaya dijual sebanyak 2,585 unit pada Julai 2024, bulan pertama jualan penuh kenderaan utiliti sukan (SUV) premium segmen B itu.

 

Ini adalah prestasi terbaiknya pada 2024, membolehkan Proton X50 kembali menjadi pemimpin kelasnya dan mengukuhkan statusnya sebagai SUV kompak kegemaran Malaysia.

 

Keseluruhannya, sejak dilancarkan pada 27 Oktober 2020, hampir 120,000 unit Proton X50 telah terjual, menjadikannya SUV yang paling cepat terjual dalam sejarah automotif Malaysia.

 

Walaupun menghadapi persaingan sengit daripada pengeluar Jepun dan China, model ini berjaya memperoleh pegangan pasaran sebanyak 10.3%dalam segmen SUV dari Januari hingga Jun 2024.

 

X50
Ruang dalaman Proton X50 2024.

 

Model ini telah mengatasi kenderaan lain dalam segmen pasaran yang sama dan menonjolkan kepercayaan pelanggan terhadap tawaran PROTON.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Roslan Abdullah berkata, prestasi jualan Proton X50 2024 pada pulan Julai adalah bukti kepada usaha keras dan dedikasi seluruh pasukan di PROTON yang peka terhadap maklum balas pelanggan.

 

"Gabungan prestasi, keselamatan dan ketersambungan model terus bergema dengan pelanggan kami dan ini memenuhi keperluan mereka.

 

ros
Roslan Abdullah (kanan) pada elancaran versi kemas kini Proton X50 2024 Jun lalu. -Gambar Proton

 

"Pada masa yang sama, PROTON telah membuat penambahbaikan dalam pengeluaran tempatan dan peningkatan yang mengutamakan pelanggan telah memastikan Proton X50 kekal di hadapan pesaing.

 

"Dalam masa yang akan datang, PROTON akan terus berinovasi dan menawarkan nilai yang luar biasa kepada pelanggan, mengukuhkan kami sebagai pemain utama dalam industri automotif," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kemas kini yang penting untuk Proton X50 2024 adalah penambahbaikan dilakukan untuk mengurangkan bunyi, getaran, dan kekasaran (NVH) serta meningkatkan keselesaan pemanduan secara keseluruhan.

 

Walaupun bahagian visual serupa dengan model sebelumnya, penambahbaikan yang ketara amat dihargai oleh pemandu yang menaik taraf daripada sedan keluarga segmen B lebih kecil.

 

x50 2024
Kemas kini Proton X50 2024 bagi meningkatkan keselesaan pemanduan secara keseluruhan.

 

Sistem infotainmen juga telah dinaik taraf dengan paparan 10.3 inci yang kini menjadi standard di seluruh rangkaian, dan perkakasan baharu dipasang untuk meningkatkan masa mula dan masa memuat, serta dilengkapi dengan telematik melalui aplikasi Proton Link.

 

Selepas memperoleh maklum balas daripada pelanggan, sistem kamera 360 darjah juga telah dinaik taraf dan kini menampilkan paparan '3D Live Feed' untuk memberikan bantuan pengendalian yang lebih baik.

 

Sementara itu, varian Flagship dan Premium kini dilengkapi secara standard dengan pintu belakang elektrik yang sebelum ini merupakan ciri pilihan.

 

Memandangkan prestasi jualannya yang kukuh, tiada kejutan untuk mendapati bahawa Proton X50 2024 telah memberi kesan kepada pelbagai demografik dan menarik perhatian pembeli lelaki dan wanita secara sama rata.

 

Lebih daripada 60 peratus pelanggan berumur antara 26 hingga 50 tahun, menunjukkan daya tarikannya kepada profesional muda dan mereka yang berkeluarga.

 

Maklum balas awal daripada pembeli menunjukkan mereka berpendapat reka bentuk model itu sesuai dengan keperluan, dengan saiz yang tepat sama ada untuk pasangan dengan anak muda ataupun individu bujang yang menjalani gaya hidup aktif.- DagangNews.com