Proton lancar pusat pengalaman digital automotif pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton lancar pusat pengalaman digital automotif pertama di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jun - ACO Tech, sebuah syarikat di bawah kumpulan Proton hari ini melancarkan sebuah pusat pengalaman digital automotif pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Proton Digital Experience (Proton DX).

 

Terletak di Quill City Mall di sini, Proton DX merupakan pusat untuk peminat kereta dan teknologi yang ingin menyaksikan inovasi terbaharu dalam industri automotif.

 

Ia juga bertujuan menjadi platform bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), untuk mencetus minat terhadap bidang tersebut dalam kalangan generasi muda.

 

Memiliki ruang berkeluasan 5,275 kaki persegi, Proton DX menjadi lokasi yang menggabungkan elemen teknologi interaktif, rekreasi dan gaya hidup untuk mencipta pengalaman yang unik, selain menampilkan enam zon menarik.

 

Tumpuan utama Proton DX ialah Kokpit Virtual, yang mana pengunjung boleh menikmati pemanduan secara maya dalam sebuah ruang seakan teater tertutup, untuk mengalami mobiliti pintar.

 

Selain mempamerkan teknologi-teknologi automotif dalam pasaran, Kokpit Virtual itu juga berfungsi sebagai platform pengalaman konseptual yang menggabungkan inovasi mobiliti masa depan.

 

Susun atur Proton DX yang dirancang teliti membawa pengunjung ke Zon Aktiviti, satu ruang interaktif yang mana mereka boleh menikmati permainan pengesan pergerakan secara individu atau bersama keluarga dan rakan-rakan.

 

 

proton

 

 

Zon Aktiviti juga boleh diguna sebagai ruang acara kolaboratif, selaras dengan slogan 'Let’s Shape the Future of Mobility'.

 

Meningkatkan lagi pengalaman pusat digital itu, pengunjung juga boleh membeli pelbagai barangan cenderahati di Zon Gaya Hidup, yang menampilkan pakaian aktif unik dan barangan gaya hidup hasil kerjasama antara Proton DX dan Joma.

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Ia melambangkan komponen gaya hidup ekosistem mobiliti yang lebih besar, jalinan antara kenderaan yang terhubung dan peranti yang boleh dipakai.

 

ACO Tech kini juga membolehkan peminat permotoran untuk membeli produk terpilih yang tersedia pada aplikasi mudah alih ATLAS Auto, yang mana pelanggan yang ingin merasai pengalaman produk juga boleh melihatnya di bahagian ATLAS Mall.

 

 

proton

 

 

Meningkatkan lagi keterujaan pelanggan, Proton DX juga mempunyai perkhidmatan penghantaran kereta khas dengan adanya ruang 'Delivery Bay' kepada pelanggan istimewa Proton yang menerima kenderaan baharu mereka.

 

Proton DX dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam, terletak di tingkat bawah pusat beli-belah tersebut. - DagangNews.com