KUALA LUMPUR 16 Jan - Segmen perntenakan dan pembuatan produk laut akan terus memacu pertumbuhan QL Resources Bhd, kata Kenanga Research yang optimis dengan prospek jangka terdekat kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu menjangkakan momentum segmen penternakan QL Resources dikekalkan berikutan subsidi telur sebanyak 10 sen sebiji dan harga siling 41 sen hingga 45 sen untuk telur gred A hingga C.
“Sekiranya subsidi ditarik balik, harga telur boleh meningkat 10 sen, bergantung kepada gred. Secara tuntas, sebarang impak permintaan daripada perubahan ini dijangka minimum kerana telur merupakan makanan ruji,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Kenanga Research berkata segmen produk laut QL Resources disasarkan untuk berkembang dalam suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), didorong oleh penangkapan ikan lebih tinggi disebabkan El Niño dan prestasi produk berasaskan surimi lebih baik, dibantu kos input yang lebih rendah.
Menurut firma itu, projek pembesaran kemudahan di Surabaya, Indonesia dan Kulai, Johor mengikut jadual untuk disiapkan pada FY24, yang mana secara kolektif kedua-dua kemudahan bakal meningkatkan jumlah kapasiti QL Resources sebanyak 49% kepada 97,000 tan setiap tahun.
“Bagaimanapun, kapasiti yang diperluaskan ini akan digunakan secara berperingkat, sejajar dengan permintaan produk. Berdasarkan anggaran kasar, kami menjangkakan kapasiti tambahan ini masing-masing boleh menyumbang jualan FY24 dan FY25 sebanyak RM22 juta dan RM79 juta,” tambahnya.
Oleh itu, Kenanga Research menaikkan unjuran keuntungan bersih FY24 dan FY25 sebanyak 0.5% dan 1.8% selepas mengambil kira sumbangan lebih tinggi daripada segmen produk laut kumpulan itu.
Firma tersebut turut menurunkan andaian perbelanjaan modal bagi FY24 dan FY25 kepada RM265 juta dan RM275 juta daripada RM320 juta setiap satu sebelum ini.
Di samping itu, sasaran pembukaan rangkaian kedai serbaneka (CVS) FamilyMart bagi FY24 dikurangkan kepada lebih 60 daripada 72 berikutan sentimen pengguna yang lemah.
Walaupun pertambahan cawangan dijangka meningkatkan hasil, firma itu menyatakan bahawa kos buruh dan tenaga yang lebih tinggi mungkin mengehadkan prestasi segmen pada FY24.
Kenanga Research menurunkan saranan kepada ‘market perform’ daripada ‘outperform’ selepas kenaikan harga sahamnya baru-baru ini, namun meningkatkan harga sasaran (TP) sebanyak 5% kepada RM6.25 sesaham berbanding RM5.95 sebelum ini.
Setakat pukul 10:42 pagi ini, saham QL Resources turun 1 sen atau 0.2% kepada RM5.89 dengan permodalan pasarannya bernilai RM14.3 bilion. - DagangNews.com








